Home Nasional Perbicaraan kes 1MDB Najib bersambung 15 April

Perbicaraan kes 1MDB Najib bersambung 15 April

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan sekali lagi.

Timbalan Pendakwa Raya  Ahmad Akram Gharib berkata perbicaraan itu yang sepatutnya didengar semalam di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi  Collin Lawrence Sequerah ditangguhkan ke 15 April berikutan pelanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kami menerima e-mel dari mahkamah pada 30 Mac memaklumkan perbicaraan akan bermula pada 15 April,” katanya kepada Bernama melalui mesej WhatsApp hari ini.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan pada Mac iaitu 2-13, 19-20, 23-27 dan 30-31; serta 1-30  April; dan Mei pada 4-8 dan 11-22 termasuk hari Jumaat untuk perbicaraan kes 1MDB.

Mahkamah juga menetapkan sepanjang bulan Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober termasuk hari Jumaat untuk perbicaraan kes itu.

Apabila perbicaraan itu bersambung semula, pasukan pembelaan diketuai  Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka meneruskan pemeriksaan balas ke atas saksi kesembilan pihak pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang telah memberi keterangan sejak 23 Sept tahun lepas.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

— BERNAMA