KUALA LUMPUR- Pos Laju dan platform perniagaan dalam talian, Shopee melancarkan kempen “Barangan Semasa Keperluan Duduk di Rumah” bagi memudahkan para pelanggan membeli barangan keperluan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kempen bermula 3 sehingga 25 April ini menawarkan lebih 20,000 jenis produk termasuk barangan dapur; kelengkapan bayi dan kanak-kanak; makanan dan minuman serta barangan keperluan isi rumah.
Tambahan itu, Pos Laju turut menawarkan baucer harian bernilai RM5 dan RM10 bagi pembelian minimum RM15 bagi barangan yang tersenarai dalam kempen Barangan Keperluan Duduk di Rumah.
Para pelanggan Shopee perlu memilih Pos Laju sebagai penghantar pilihan semasa membuat pembelian tersebut bagi menebus baucer berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd., Syed Md Najib, kempen tersebut bukan sahaja memudahkan pelanggan malah memastikan kesihatan rakyat terjamin.
“Langkah ini turut membantu mengekang penularan wabak Covid-19 dan dalam masa yang sama mengurangkan kesukaran untuk keluar ke kedai dan beratur panjang.
“Ia menggalakkan orang ramai untuk terus duduk di rumah sepanjang tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Para pelanggan dinasihatkan untuk menggunakan alamat rumah masing-masing kerana penghantaran ke alamat-alamat perniagaan bukan keperluan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh PKP.
Selain itu, buat sementara waktu, bagi mengurangkan kontak di antara pelanggan dan penghantar, pelanggan tidak lagi perlu menurunkan tanda tangan semasa menerima barangan.
Mereka sebaliknya hanya perlu membacakan nombor kad pengenalan sahaja.- MalaysiaGazette