KUALA LUMPUR – Pihak Irama Konsortium (IRAMA) menyambut baik bantuan sara hidup dalam pakej rangsangan ekonomi menangani Covid-19 turut melibatkan golongan artis di negara ini.
Pengerusi IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, kumpulan B40 yang disasarkan kerajaan termasuk mereka dalam kalangan penyanyi seperti busker di jalanan.
“Kami bersyukur kerana kerajaan prihatin terhadap nasib orang seni yang berpendapatan rendah serta mereka yang layak untuk dibantu, akan mendapat sebahagian hak dari pakej rangsangan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Selain itu, menurut Ayob, IRAMA sendiri mengambil inisiatif untuk menggerakkan pelbagai bantuan sokongan tambahan kepada penggiat seni tanahair antaranya Pelancaran Tabung #ArtisJagaArtis.
“Kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kerajaan yang tampil untuk membantu mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19 serta perlaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette