Home Nasional Lelaki joging antara 10 suspek ditahan langgar PKP

Lelaki joging antara 10 suspek ditahan langgar PKP

Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh yang berjoging di taman permainan tanpa mengendahkan larangan kerajaan orang ramai keluar rumah sepanjang penguatkuasaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memakan diri.

Pemuda berusia 20 tahun itu antara 10 suspek yang telah ditahan polis daerah Petaling Jaya dalam tujuh tangkapan yang dilaksanakan pada hari semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama melibatkan sekitar 11 pagi semalam apabila seorang lelaki berumur 30 tahun di sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Surian menghala ke Pelangi Damansara kerana gagal memberi alasan munasabah.

“Tangkapan kedua polis cekup lelaki warga Bangladesh berusia 20 tahun yang sibuk joging tanpa pedulikan arahan polis mengedar dari situ dan dia ditahan di taman permainan Flat Sri Meranti di Sri Damansara sekitar 12.20 tengahari semalam.

“Tangkapan ketiga pula pada hari sama jam 2.30 petang menyaksikan tiga pemuda berusia antara 21 dan 22 tahun atas kesalahan berkumpul di taman permainan Jalan Sepah Puteri 5/10 Seksyen 5, Kota Damansara.

‘Manakala tangkapan keempat menyaksikan seorang lelaki warga Indonesia berumur 24 tahun di sekatan jalan raya di Laluan Plaza Tol Sungai Buloh-Damansara selepas gagal memberikan sebab munasabah tentang pergerakannya di luar sekitar jam 7.30 malam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, polis menahan seorang lagi pemuda berusia 23 tahun sekitar jam 9.30 malam semasa tangkapan kelima di sekatan jalan raya Plaza Tol Subang-Kelana Jaya kerana gagal memberikan penjelasan mengenai pergerakan di waktu malam.

Justeru katanya, tangkapan keenam pada 9.55 pagi 3 April hari ini melibatkan dua lelaki di lorong bahagian belakang kedai barang lusuh di Jalan PJS 3/6 PJ selepas kedua-dua individu gagal memberikan penjelasan mengenai aktiviti mereka.

Manakala tangkapan ketujuh pada 10.30 pagi tadi pula, tegasnya polis berjaya menahan lelaki berusia 31 tahun di sekatan Jalan Raya Plaza Tol PJS 2 kerana gagal memberi alasan untuk pergerakannya di luar.

“Kesemua tangkapan dibuat dalam tempoh 24 jam dan disiasat dibawah Peraturan 7 (1) Akta 342 yang mana jika disabitkan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.

“Secara keseluruhannya semenjak PKP dikuatkuasakan, seramai 157 orang telah ditahan di daerah PJ dan pada tempoh sama sebanyak 80 kertas siasatan telah dibuka manakala tujuh dituduh di Mahkamah Majistret PJ.

“Ada dalam kalangan tertuduh sudah dijatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara selama sebulan oleh mahkamah, tetapi ada juga yang tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

“PDRM memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP yang telah bermula fasa kedua mulai 1 April lalu dan kegagalan mematuhi arahan terbabit akan memastikan mereka ditangkap dan didakwa di mahkamah berlunaskan undang-undang yang ada,” tegasnya.-MalaysiaGazette