Home Ek Kata Che Pah? Jangan tak tahu menyidai baju pun ada seni

Jangan tak tahu menyidai baju pun ada seni

Menyidai baju pun ada seni

Marhaba…. Apa khabar semuanya. Che Pah harap anda semua berada dalam keadaan super tenang dan ceria.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rupanya telah membawa banyak kebaikan bagi kita. Che Pah misalnya terasa sangat yang rutin kehidupan Che Pah jadi lebih teratur.

Lebih mengesankan apabila dalam suasana PKP ini segala urusan hidup kembali seperti zaman kehidupan yang dulu.

Che Pah tak boleh lagi membasuh baju di dobi. Dobi depan rumah Che Pah tutup. Mesin basuh pula rosak akibat sudah lama tidak digunakan.

Maknanya Che Pah kena basuh tangan baju kotor. Che Pah ambil keputusan untuk membasuh setiap hari. Tak mahu kumpul.

Jika dikumpul akibatnya patah pinggang nak membasuh. Jadi lebih bagus jika direndam pada malam hari dan keesokan harinya dibasuh.

Jika sebelum PKP  dikuatkuasa, Che Pah akan menghantar baju untuk dibasuh di dobi depan rumah. Murah. Baru RM4 sekali cucian. Siap dengan sabun dan pelembut.

Jimat masa. Jimat tenaga elektrik, air dan bahan mencuci dari dibasuh di rumah. Bagi Che Pah ini langkah lebih bijak.

Kebiasaannya Che Pah tidak akan mengeringkan terus baju di dobi. Lepas cuci, Che Pah bawa balik ke rumah dan sidai di ampaian.

Che Pah kurang senang baju dikering menggunakan pengering. Baju jadi lebih renyuk selain ada baju yang mungkin boleh berubah saiz bila masuk dalam pengering.

Pada Che Pah negara kita punya panas yang cukup. Jadi tidak perlu pengering. Selain jimat belanja kita juga boleh jimat tenaga.

Tak sampai setengah jam, baju dah kering. Maklum panas sekarang ini kan. Kita pun boleh garing dibuatnya.

Sedang ralit menyidai baju di ampaian di tepi Rumah Tanjong, tiba tiba Che Pah terkenang kisah dulu dulu.Kisah Che Pah dengan Emak. Emak adalah panggilan Che Pah pada nenek Che Pah. Nama Emak ialah Sharifah Fatmah Syed Aidrus Al Habshi.

Waktu di mana Emak mengajar Che Pah SENI menyidai baju. Jangan ketawa tau. Menyidai baju pun ada seninya.

Tidak keterlaluan kalau Che Pah cakap, dari tertib menyidai baju ini secara tidak langsung ia menggambarkan keperibadian sang penyidai.

Emak Che Pah seorang yang sangat tertib. Bagi Emak semua harus ikut susunan dan ketertiban. Tak boleh asalkan boleh saja. Itu pantang besar pada Emak.

Pernah sekali tu Che Pah menyidai baju tetapi ditegur oleh Emak. Waktu itu umur Che Pah sekitar 10 tahun. Waktu itu ampaian baju di depan rumah.

Selesai basuh baju, Che Pah pun terus menyidai. Apalagi, segala jenis pakaian ada dalam satu jalur ampaian.

Di situlah ada kain batik, kain pelikat, seluar, baju. Senang cakap jadi rojaklah. Caca marba. Kedai baju second hand pun tak macam itu.

Sekejap lagi Emak keluar. Apalagi mengucap panjanglah Emak. Terkejut tengok hasil kerja cucu kesayangan dia yang satu ni.

Astagfirullahalazim. Apa kenanya jadi macam ni. Dah macam tongkang karam, bebel Emak.

Che Pah senyap menikus. Tak berani nak kata apa. Budak dulu dulu mana berani menjawap cakap orang tua. Tak macam budak sekarang. Sepatah orang tua cakap, macam bertih goreng dia menjawab.

Meh sini Emak ajor cara sidai baju. Ni cara salah ni. Awak nak satu kampung ke tengok cara menyidai camni, Emak sambung bebelan.

Che Pah akur. Che Pah keluar ke ampaian baju.Tangan Emak Che Pah lihat mula ligat menurunkan balik semua baju yang telah Che Pah sidai tadi.

Seperti biasa mulut Emak tak habis lagi Bercakap. Emak terus sambung.

Tak kena cara menyidai baju camni. Nak sidai baju pun mesti ada peraturan dan tertibnya, kata Emak.

Dari cara kita sidai baju, orang boleh meneka peribadi kita, Emak terus bercakap sambil membuka pengepit baju. Terkelip kelip mata Che Pah memandang Emak.

Setiap butir kata Emak masuk ke corong telinga Che Pah lantas terus dihadam ke dalam hati lalu disimpan kemas hingga kini.

Emak cakap, bila kita menyidai baju harus ada susunannya. Kain batik harus disidai pada satu ampai. Jangan dicampur dengan kain pelikat.

Kain perlu dikebas dulu. Kemudian masukkan kedua tangan dalam kain dan regangkan. Selepas disidai, hujung kain dilurut agar tidak berkelepet. Selepas sidai pastikan sidaian sama labuh. Jangan ada yang labuh dan ada yang singkat. Itu akan buat sidaian tidak molek.

Kemudian jika menyidai baju kemeja pastikan pada satu ampaian itu baju kemeja sahaja. Tidak bercampur dengan T shirt.

Manakala baju putih disidai pada satu ampaian dan tidak dicampur dengan pakaian berwarna.

Emak pesan, jangan sesekali sidai pakaian dalam di luar rumah. Terutama pakaian dalam orang perempuan.

Che Pah tanya kenapa, Emak kata itu maruah kita. Kenapa nak tunjuk sekampung. Lagi pun kata Emak jika ada orang nak buat tak elok akan lebih mudah kena jika menggunakan pakaian dalam.

Che Pah mengangguk. Betul juga. Sekarangkan banyak yang pemikirannya kurang elok. Habis pakaian dalam orang disapunya. Tau tau dah hilang.

Kawan Che Pah pernah kena. Tapi yang kelakarnya seguni pakaian dalam kawan Che Pah dipulangkannya semula. Entah apa dibuatnya Che Pah pun tak tau.

Bila Emak dah tunjuk Che Pah teknik menyidai yang betul, Che Pah perhati hasil kerja Emak memang kemas. Sedap mata memandang. Baju pada ampaian nampak lebih teratur.

Kini apabila usia sudah menginjak dewasa, bila dikenang tunjuk ajar Emak semua ada betulnya Masa budak budak kita tak nampak. Bila dah tua baru kita akui nasihat nenek kita.

Sidaian baju yang kemas sebenarnya menggambarkan sistem hidup seseorang. Andai kemas teratur baju yang disidai maka kita boleh meneka pasti tuan yang menyidai juga kemas dan tertib orangnya

Kalau tak percaya tengok kekemasan diri dan rumah mereka. Pasti kemas. Tapi bagi yang menyidai baju ikut suka tu, sendiri mau ingatlah penampilan diri dan kekemasan rumah mereka. Che Pah tak nak cerita. Anda tengok dan nilai sendiri.

Namun tunjuk ajar yang sebegini semakin kurang diterap pada anak anak kita baik lelaki mahupun perempuan. Ramai yang ambil mudah. Apatah lagi jika ada pembantu. Satu benda tak ambil tahu.

Emak selalu pesan. Kita kena pandai buat kerja rumah. Kena mahir selok belok memasak. Mesti ambil tahu semua urusan rumah dari kecil hingga yang besar.

Pertama kata Emak, bila dah duduk sendiri nanti tak canggung buat kerja. Pasti boleh mandiri.

Keduanya, andai punya pembantu pasti mereka tak berani kononkan kita. Kerana apa?.. Jawapannya pasal kita tahu semua hal urusan rumahtangga. Pembantu malu dengan kita. – MalaysiaGazette