Home Nasional KKM tunggu garis panduan WHO mengenai pemakaian penutup mulut

KKM tunggu garis panduan WHO mengenai pemakaian penutup mulut

Orang awam memakai topeng penutup mulut dan hidung berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu garis panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai amalan pemakaian penutup mulut dan hidung.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana pegawai di peringkat KKM telah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung ketika berdepan dengan pesakit Covid-19.

“Kita telah nasihatkan pegawai ini untuk pakai penutup mulut dan hidung. Itu saranan kita.

“Untuk masyarakat umum, jika ada simptom kena pakai penutup mulut dan hidung.

“Persoalannya sekarang perlu ke pakai penutup mulut dan hidung, jika anda terdedah kepada umum mungkin perlu pakai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pemakaian kepada penutup mulut dan hidung adalah berdasarkan kepada bukti yang terdapat pada ketika itu.

“Kita kena lihat bukti dan adakah kita perlu pakai penutup mulut dan hidung kita kena tunggu garis panduan WHO.

“Tapi kita tidak ada halangan untuk sesiapa sahaja memakai penutup mulut dan hidung jika di kawasan umum,” katanya.

Ditanya mengenai keberkesanan penggunaan terowong sanitasi dalam membasmi virus Covid-19, Noor Hisham berkata, perkara itu perlu dikaji samada ia benar-benar berkesan.

“Di Kementerian Kesihatan, kita berdasarkan fakta. Kita perlu lihat penyelidikan untuk tunjukkan sama ada ia berkesan atau tidak, apakah bahan kimia yang digunakan dan pelbagai lagi.

“Inovasi ini baik tapi perlu ada penyelidikan sama (mengenainya),” katanya. -MalaysiaGazette