
BANDAR SERI BEGAWAN – Tiada kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan di Brunei semalam.
Ia merupakan kali pertama tiada laporan mengenai jangkitan wabak itu sejak ia melanda kes paling awal pada 9 Mac lalu.
Kementerian Kesihatan Brunei memaklumkan, jumlah kes Covid-19 di Brunei kekal pada 135.
“Bagaimanapun, penyebaran jangkitan Covid-19 belum berakhir dan kita mesti terus mematuhi segala langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko penyebaran jangkitan.”
Tujuh lagi pesakit telah pulih, menjadikan jumlah kes yang berjaya dirawat kepada 73 orang.
Tiga pesakit masih dalam keadaan kritikal memerlukan bantuan pernafasan.
Pesakit-pesakit lain dilaporkan stabil.
Kementerian itu menambah, setakat ini seramai 280 individu dikuarantin manakala 2,065 orang sudah selesai menjalani pengasingan.
Sebanyak 8,129 ujian Covid-19 sudah dijalankan. – MalaysiaGazette