KUALA LUMPUR – Ibu-bapa diingatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing supaya sentiasa berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini kerana kira-kira empat peratus individu yang ditangkap akibat kesalahan melanggar PKP adalah remaja berusia bawah 18 tahun dan ia amat menyedihkan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
“Kepada pengingkar tegar yang terus melakukan kesalahan PKP jangan anggap perbuatan itu adalah macho bagi anda kerana mengelak daripada ditangkap polis dan melepasi sekatan jalan selain menjalankan kegiatan tak berfaedah di luar rumah kerana hukuman berat menanti anda.
“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, fikirkanlah sebelum melakukan kesalahan dan ditangkap.
“Ibu bapa khususnya, saya pohon agar sentiasa memerhatikan pergerakan anak-anak belasan tahun, sebab daripada jumlah beribu yang ditangkap melanggar PKP, empat peratus adalah bawah umur 18 tahun.
“Harap ibu bapa tumpukan perhatian serius terhadap pergerakan anak-anak,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Abdul Hamid dalam perkembangan berkaitan turut menjelaskan seorang anggota polis berpangkat inspektor antara ditahan kerana berkaraoke di sebuah pusat hiburan di Negeri Sembilan dan ia satu perkembangan yang tidak sepatutnya berlaku semasa perintah PKP.
Katanya, dalam penguatkuasaan undang-undang PDRM tidak akan memilih bulu atau kedudukan dan pegawai PDRM patut menjadi contoh kepada rakyat untuk mematuhi undang-undang.
“Saya ucapkan penghargaan tinggi kepada polis atas kesabaran bertugas di lapangan selama 24 jam bertukar syif melakukan rondaan dan pemeriksaan dengan dibantu tentera dan lain-lain agensi sehingga hari ke-20 setakat ini.
“Saya tidak mahu segelintir yang melanggar peraturan itu bedegil lagi sebab hampir 31 juta rakyat atau 99 peratus yang duduk di rumah betapa sakit hati dengan kedegilan anda yang tidak mahu patuhi PKP dan meletakkan orang dalam risiko.
“Bagi saya anggota PDRM yang bertugas di lapangan juga adalah hero negara yang mengorbankan masa dan titik peluh demi menjamin keselamatan rakyat dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia memutuskan rantaian Covid-19,” tegasnya.-MalaysiaGazette