Home Sukan MFL bersedia jika PKP dilanjutkan

MFL bersedia jika PKP dilanjutkan

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Abd Ghani Hassan.

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) telah bersedia dengan beberapa pilihan bagi meneruskan kalendar bola sepak tempatan pada musim 2020 jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik C0vid-19 sehingga 14 April ini dilanjutkan kepada satu tarikh baharu.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan, keputusan sama ada untuk meneruskan kalendar bola sepak Malaysia turut bergantung kepada arahan kerajaan daripada sudut bilakah pengumuman status PKP akan berakhir serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“MFL sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku dan kami juga bersedia dengan beberapa pilihan jika sekiranya PKP masih lagi dilanjutkan tempoh.

“Untuk makluman segala persiapan dan perancangan MFL melibatkan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, Challenge Cup, TM Piala Malaysia serta saingan liga amatur M3 kelolaan Amateur Football League (AFL).

“Namun begitu segala keputusan ini masih tertakluk kepada arahan kerajaan berhubung bilakah status PKP akan berakhir dan sebaik tempoh akhir PKP telah diumumkan, MFL akan memaklumkan dengan lebih terperinci berhubung format yang akan digunapakai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, FAM dan MFL mengambil maklum berhubung situasi semasa tahap penularan terkini wabak Covid-19 yang menyebabkan tempoh PKP selama 14 hari dari 18 hingga 31 Mac lalu dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Ia sekali gus mempengaruhi perjalanan baki saingan Liga Malaysia 2020 termasuk saingan Liga M3 yang sudah ditangguhkan bermula 16 Mac laluakibat penularan wabak Covid-19.

Berhubung kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyeru agar semua pihak tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun, Ab Ghani berkata, MFL akan menunggu garis panduan terperinci KKM selepas tamat tempoh PKP.

“Mengenai saranan KKM itu, kita ambil maklum namun adalah lebih baik kita menunggu tempoh PKP selesai dan garis panduan terbaharu dikeluarkan oleh KKM dan pihak Kerajaan sebelum MFL membuat sebarang keputusan mengenai perjalanan Liga Malaysia musim 2020,” katanya. – MalaysiaGazette

+ posts