Home Nasional Seramai 1,205 rakyat Selangor selamat pulang dari luar negara

Seramai 1,205 rakyat Selangor selamat pulang dari luar negara

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, ACP Mohd Ismail Muslim bercakap pada sidang media berkenaan OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Menara 1, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 06 APRIL 2020.

SHAH ALAM – Rakyat Selangor yang pulang dari luar negara sama ada melalui penerbangan sewa khas mahupun komersial sejak semalam membabitkan seramai 1,205 orang melalui 12 penerbangan.

Jurucakap Khas Op Covid-19, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, daripada jumlah itu, seramai 903 sudah disaring dan didapati negatif daripada wabak Covid-19.

“Seramai 903 orang telah disaring dan didapati negatif manakala lima lagi dipercayai mempunyai simptom dan telah dihantar ke pusat kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

“Sebanyak 12 penerbangan dari Bangkok, New Delhi, London, Jakarta, Doha, Fudong China, Hong Kong, Chennai, Manila, Auckland dan Melbourne,” katanya pada sidang media di IPK Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Ismail berkata, seramai 227 rakyat Selangor di dalam transit sama ada di dalam mahupun di luar negara.

“Seramai 14 orang adalah transit di dalam negara manakala 213 orang adalah transit untuk penerbangan luar negara, iaitu London dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, mengulas kes positif Covid-19 yang melibatkan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Selangor, beliau berkata setakat ini, tiada saringan baharu dilakukan.

“Tiada saringan baru, setakat ini seramai 43 warga PDRM (positif) iaitu enam pegawai kanan dan 37 pegawai rendah masih dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette