Home Sukan Sumareh pilih jaringan menentang Thailand

Sumareh pilih jaringan menentang Thailand

Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh diasak pemain Thailand pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh mendedahkan gol ketika menentang Thailand adalah jaringan kegemarannya bersama Malaysia.

Sumareh yang juga pemain Pahang berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama peminatnya di Instagram miliknya.

“Sangat mudah mengapa gol tersebut menjadi pilihannya. Ini kerana, ia dijaringkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di hadapan ribuan penyokong Harimau Malaya dan ia berhasil memberikan tiga mata penting selepas dua kekalahan berturut-turut,” kata pemain naturalisasi dari Gambia itu.

Gol Sumareh merupakan ledakan padu pada minit ke-56 itu sudah cukup buat skuad negara memenangi aksi keempat kumpulan, sebelum menang 2-0 ke atas Indonesia dalam aksi kelima untuk melonjak Malaysia ke kedudukan kedua kumpulan di belakang Vietnam.

Gol tersebut merupakan jaringan terkini daripada enam gol bersama Harimau Malaya menerusi 19 penampilan.

Malaysia menang 2-1 ke atas Thailand dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Selain itu, dalam sesi soal jawab, Sumareh turut ditanya mengenai pertahanan paling sukar yang pernah dihadapinya di Liga Malaysia dan dia memilih dua orang rakan di skuad kebangsaan, Shahrul Saad dan Corbin Ong.

Di samping itu, pemain berusia 25 tahun itu juga tampil menyatakan yang beliau sudah tidak sabar untuk berganding bahu bersama pemain naturalisasi terbaharu skuad negara, Liridon Krasniqi yang baginya adalah seorang pemain yang bagus.

Selepas berjaya mendapatkan khidmat Sumareh sebagai pemain naturalisasi pertama dan tampil untuk kap pertama pada Oktober 2018, kini tiba giliran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu pula membuat kemunculannya.

Bercakap mengenai pemain yang memiliki teknik sepakan percuma yang lebih baik, pemain utama Pahang itu memilih rakan sepasukannya di skuad kebangsaan ketika ini, Safawi Rasid, berbanding bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim. – MalaysiaGazette