Home Nasional Cuci tangan selepas sentuh haiwan peliharaan

Cuci tangan selepas sentuh haiwan peliharaan

Orang ramai dinasihatkan mencuci tangan selepas menyentuh haiwan peliharaan sebagai langkah berjaga-jaga menghindari Covid-19.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan mencuci tangan selepas menyentuh haiwan peliharaan sebagai langkah berjaga-jaga menghindari Covid-19.

Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, adalah pentingĀ  memastikan kebersihan pada tahap optimum ketika mengendalikan haiwan yang turut terdedah dengan wabak itu.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar (DVS) untuk mendapatkan nasihat selanjutnya berkenaan pengendalian haiwan peliharaan ketika penularan wabak Covid-19.

“Kepada pencinta haiwan, haiwan peliharaan dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.Jika kita tidak boleh menjauhkan diri dari haiwan peliharaan, adalah penting untuk memastikan tahap kebersihan diri kita sepanjang masa khususnya apabila mempunyai kontak rapat dengan haiwan.

“Cuci tangan sebelum dan selepas mengendalikan haiwan,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian menyedari perkembangan terhadap persoalan orang ramai pada waktu ini terhadap Covid-19 yang berkemungkinan boleh terkena merebak kepada haiwan.

Kelmarin, BBC News melaporkan Harimau Malaya betina yang berusia 4 tahun di Zoo The Bronx disahkan positif Covid-19.

Harimau yang diberi nama Nadia itu dipercayai dijangkiti wabak tersebut daripada penjaga zoo berkenaan.

Selain itu, sebelum ini terdapat dua kes positif Covid-19 melibatkan anjing peliharaan di Hong Kong.-MalaysiaGazette