KUALA LUMPUR – Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digunakan bagi melaksanakan persekitaran bersih dan terlindung sebagai usaha memutuskan rantaian Covid-19 perlu dikaji semula.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, SOP mengenai kaedah menguruskan kebersihan diri, rumah, dan persekitaran memerlukan SOP baharu.
“Lock down or not. PKP bersambung atau tidak yang pasti kita perlu semak semula semua SOP kita. Cara kita uruskan kebersihan diri, rumah , tempat kerja hatta tempat awam dan bandar kita.
“DBKL memerlukan SOP dan piawaian baharu untuk gerai, penjaja, pasar, bazar, premis perniagaan, kondominium dan lain-lain,” katanya dalam status ciapan Twitter hari ini.
Terdahulu dalam ciapan sama beliau telah memuat naik klip video penempatan sementara gelandangan ibu kota di sebuah dewan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Jika beberapa hari lalu, ratusan gelandangan di ibukota disediakan tilam di lantai dengan jarak satu meter manakala wanita pula turut dijarakkan dan diletakkan di satu sudut yang asing.
Malam tadi setiap gelandangan ditempatkan khas dalam khemah persendirian untuk memastikan mereka lebih selamat dan dilindungi.
Alhamdulillah..Arahan saya supaya di pasang cubicles utk gelandangan segera di laksanakan mim ini..syukur..sy urus selimut pulak pic.twitter.com/2J4qkVDP9Y
— Annuar Musa (@AnnuarMusa) April 6, 2020
Rakaman video ringkas itu menunjukkan pemandangan dari atas cubicles menempatkan gelandangan tersebut.
“Alhamdulillah..arahan saya supaya dipasang cubicles untuk gelandangan segera dilaksanakan malam ini (Isnin)..Syukur dan saya urus selimut pulak,” katanya lagi.
Inisiatif berkenaan diambil selepas DBKL mahu memastikan gelandangan yang tidak mempunyai perumahan tetap tidak terdedah dengan jangkitan Koronavirus 2019 dan sentiasa selamat.-MalaysiaGazette