Home Seni Hidup Hantar barang dapur hingga ke rumah

Hantar barang dapur hingga ke rumah

Pekerja dilihat memasukkan barang ke dalam kereta untuk dihantar kepada pelanggan selepas syarikat tersebut menyediakan penghantaran barang basah di HSA Cheaper Mart, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2020.

AMPANG – Pasar raya HSA Cheaper Mart telah memperluaskan jualan barangan basah runcit dan buahan segar secara dalam talian dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan tersebut hingga ke rumah.

Pemiliknya, Datuk Muhamad Riduwan Safrizal berkata, konsep itu mendapat permintaan yang luar biasa sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Jelasnya, inisiatif itu meningkat hari ke hari dan sehingga kini menerima hampir 100 tempahan sehari menerusi perkhidmatan pesanan WhatsApp dengan jualan mencecah RM10,000.

Pekerja dilihat mengangkat barang untuk dihantar kepada pelanggan selepas syarikat tersebut menyediakan penghantaran barang basah di HSA Cheaper Mart, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2020.

“Jualan dalam talian bukan sahaja memberi ruang kepada orang ramai mendapatkan barangan makanan khususnya ayam, ikan, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan secara segar dan murah terus ke rumah tanpa perlu pergi ke pasar.

“Pada zaman ini, isu kesuntukan masa ini tidak timbul lagi dan segala-galanya ada di hujung jari kita. Apatah lagi, ketika ini kerajaan hanya membenarkan ketua keluarga seorang diri sahaja yang keluar rumah membeli-belah ketika PKP.

“Jadi dengan perkhidmatan penghantaran barangan ini, golongan isteri berpuas hati dengan tempahan kerana boleh membeli secara talian dan barangan akan sampai keesokan hari mengikut kemahuan mereka,” katanya ketika ditemui di pasar raya yang terletak di Taman Ukay Perdana di sini hari ini.

Pengasas syarikat HSA Cheaper Mart , Datuk Muhamad Riduwan Safrizal bercakap semasa ditemubual selepas syarikat tersebut menyediakan penghantaran barang basah di HSA Cheaper Mart, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2020.

HSA Cheaper Mart mula beroperasi sejak Januari lalu adalah milik HSA Trading Capital Bhd. yang merupakan pengeluar dan pemborong produk muslim serta pengeluar produk makanan berjenama Sherwani.

Ketika PKP dilaksanakan, pasar raya itu beroperasi sejak pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari ini.

Muhamad Riduwan menambah, tempahan jualan dalam talian disediakan bermula pukul 2 petang hingga 10 malam.

Jelasnya, ke semua tempahan itu akan mula dihantar keesokannya harinya bermula pukul 10 pagi.

Pekerja dilihat menyusun sayur-sayuran selepas syarikat tersebut menyediakan penghantaran barang basah di HSA Cheaper Mart, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2020.

Tambah beliau, caj perkhidmatan penghantaran mengikut harga yang ditetapkan oleh syarikat perkhidmatan penghantaran seperti Lalamove, Grab dan Bungkus It.

“Kami menyediakan barangan basar yang segar dan murah di mana bekalan diambil di pasar borong berdekatan. Semua urusan tempahan, bungkusan dan penghantaran dibuat oleh kakitangan kami sendiri.

“Pengguna boleh membuat kaedah pembayaran ketika penghantaran sampai di rumah atau pun secara atas talian.

“Ketika ini kami menggunakan tiga penghantar barang yang menggunakan kereta menampung permintaan pelanggan. Penghantaran kini meliputi sejauh 30 kilometer sehingga ke Setia Alam dengan pembelian minimum sebanyak RM50,” katanya.

Pengasas syarikat HSA Cheaper Mart , Datuk Muhamad Riduwan Safrizal memotong ayam selepas syarikat tersebut menyediakan penghantaran barang basah di HSA Cheaper Mart, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2020.

Muhamad Riduwan memberitahu, sebagai penghargaan kepada pengguna, HSA Cheaper Mart kini menggalakkan mereka mendaftar sebagai ahli dengan yuran RM50.

Katanya, ia membolehkan ahli memenangi wang tunai setiap minggu sehingga RM500 selain pakej umrah.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh menghubungi talian +60194008966. – MalaysiaGazette