Home Nasional Polis Kajang tutup 8 jalan bermula pagi esok

Polis Kajang tutup 8 jalan bermula pagi esok

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang akan melaksanakan penambahan sekatan jalan raya (SJR) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Tahap Fasa Kedua bermula jam 12.01 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, penambahan SJR dan penutupan jalan bertujuan untuk menghadkan pergerakan orang ramai agar mematuhi arahan PKP bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Antara penambahan SJR di Kajang ialah KM 1 Lebuhraya Besraya (menghala hala ke UPM), Sg Ramal Dalam (menghala ke Putrajaya) dan Jalan Cheras Batu 14 (depan KPJ Kajang menghala ke Kajang),” katanya dalam satu kenyataan malam semalam.

Menurut Ahmad Dzaffir, ketika ini sebanyak tujuh SJR sedia ada telah dilaksanakan di dalam daerah itu.

Antaranya Lebuhraya Grand Saga (menghala ke Kuala Lumpur), Plaza Tol Kajang, Plaza Tol Bangi, Plaza Tol Bandar Sri Putra, Plaza Tol Kajang Selatan (Lekas), Batu 21 Sg Lui Hulu Langat (PKPD) dan Batu 24 Sg Lui Hulu Langat (PKPD).

Selain SJR, pihaknya juga akan melakukan penutupan kekal lapan jalan laluan ke pekan Kajang bermula jam 12.01 tengah malam esok.

“Ia melibatkan Jalan Sungai Chua/ Susur Terowong KTM, Jalan Reko/ MRT, Jalan Cheras/ Jalan Timur (Depan Masjid Jamek Kajang), Jalan Semenyih/ Jalan Low Ti Kok, Susur turun ke Jalan TTDI Grove 2/1 dari arah Persiaran Saujana Impiandan penutupan Jalan TTDI Grove 1/1.

“Turut ditutup ialah Persiaran Saujana Impian/ Jalan Melor 1, Jalan Sg Kantan dari arah Desa Jenaris dan dari arah Persiaran Saujana Impian serta sempadan Bandar Seri Putra/ Nilai 3,” katanya.

Susulan itu, katanya orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu dari arah Persiaran Saujana Impian dan Lebuhraya Grand Saga adalah melalui Jalan Cheras ke Kajang, dari arah Sungai Chua melalui Lebuhraya SILK ke Lebuhraya Grand Saga ke Jalan Cheras Kajang.

Katanya lagi, laluan alternatif lain termasuk Jalan Reko melalui Lebuhraya SILK; Jalan Bukit ke Pekan Kajang; Jalan Low Ti Kok, Jalan Timur melalui Jalan Cempaka Kuning, Cempaka Putih, Pekan Kajang; dan laluan ke IPD Kajang, Mahkamah Kajang, MPKJ dan Kajang Plaza Medical Centre adalah melalui Jalan Timur dan Cempaka Kuning.

Bagi menjayakan operasi SJR itu, pihaknya mendapat bantuan dan kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kajang, Rela dan Jabatan Kerja Raya (JKR). – MalaysiaGazette