Home Utama Terima kasih ‘frontliners’ KKM, jaga diri anda juga – Ismail Merican

Terima kasih ‘frontliners’ KKM, jaga diri anda juga – Ismail Merican

Temubual bersama bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Mohamed Ismail Merican di Prince Court, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Kumpulan petugas barisan hadapan (frontliners) terutamanya pengamal perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus lumus memerangi penularan wabak Covid-19 adalah wira sebenar.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, pengorbananan golongan itu tidak sepatutnya menjadi sia-sia,  dengan rakyat tidak sesekali memperlekehkan saranan kerajaan supaya duduk di rumah sahaja.

Kata Ismail, petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban kini sedang berjuang habis-habisan bagi memastikan wabak itu dapat dibendung.

“Antara cara berterima kasih kepada golongan ini tidak lebih daripada duduk rumah dan patuh segala garis panduan yang telah dikeluarkan khasnya KKM dalam menjaga diri, kebersihan dan disiplin bendung Covid-19.

“Cara ini juga sebenarnya akan membantu kumpulan frontliners yang ketika ini pada saya sedang melakukan tugas mereka dengan cukup baik sekali, jadi kita juga perlu patuh dan ikut supaya beban mereka itu kurang pada akhirnya.

“Hakikatnya dengan menggunakan sumber yang begitu terhad, forntliners sedang berhempas pulas memastikan kes-kes ini terus menunjukkan penurunan, tahniah kepada mereka dan terima kasih tidak terhingga,” katanya dalam temuramah eksklusif dengan MalaysiaGazette hari ini.

Potrait petugas barisan hadapan yang tidak lelah menjalankan tanggungjawab mereka sepanjang pandemik Covid-19 melanda Malaysia ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 MAC 2020.

Kata Ismail lagi, rakyat di negara ini masih lagi mampu menikmati kehidupan normal serta selesa walaupun telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan tugas hakiki petugas barisan hadapan berjalan seperti biasa.

“Nasihat saya hanya satu kepada kumpulan ini, sebenarnya anda semua sedang melakukan satu tanggungjawab yang bukan sahaja mulia, sebaliknya sangat berat sekali. Tahniah.

“Tetapi pada masa yang sama, tolonglah, tolonglah jaga diri kamu juga. Kerana kamu juga mempunyai keluarga dan mereka juga mengharapkan kamu. Jangan dalam kesibukan membantu keluarga di luar sana, diri sendiri dilupakan.

“Jaga kesihatan kamu, jangan lupa anda adalah last defence (pertahanan terakhir) kita, seandainya diri kamu sendiri tidak terjaga, jadi siapa lagi yang akan perangi wabak pandemik ini? Korban diri tapi perlu berpada-pada diri juga.

“Jika letih, minta kebenaran untuk berehat, manusia ini berlainan jadi sekiranya ada yang memerlukan kaunseling terutamanya jika hadapi tekanan ketika ini apatah lagi kerja berterusan, ambil bantuan dapatkan kaunseling dan sebagainya. Jangan diam dan simpan sahaja.

“Anda-anda ini sangatlah penting, janganlah kerja begitu kuat sehingga lupa semua sekali, jaga diri dan kesihatan fizikal dan mental juga,” nasihat beliau. – MalaysiaGazette