KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengemukakan surat rayuan kepada Ketua Menteri Sabah supaya mempertimbangkan semula perintah penutupan operasi ladang dan kilang sawit bagi enam daerah yang terlibat.
Selain itu, kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah mengemukakan maklumat dan
input yang berkaitan kepada pihak Kerajaan Negeri Sabah dengan harapan satu penilaian dan pertimbangan yang sewajarnya dapat dibuat.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya mengalu-alukan dan menyambut baik langkah tegas yang diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam membendung penularan wabak Covid-19 di Sabah terutama di kawasan-kawasan yang terlibat.
Tetapi pada masa yang sama, KPPK juga yakin bahawa solusi yang terbaik akan diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah demi kepentingan sosio-ekonomi semua pihak yang terlibat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dijangka mengumumkan keputusan berhubung perintah tersebut hari ini.
Sebelum ini Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Sawit Malaysia (MEOA) dalam kenyataan akhbarnya menyifatkan penutupan operasi ladang dan kilang sawit akan memberi implikasi ke atas sosio-ekonomi masyarakat Sabah mempunyai meritnya dan wajar dipertimbangkan semula oleh Kerajaan Negeri Sabah berdasarkan kes demi kes.
Langkah penutupan operasi ladang dan kilang sawit bukan sahaja memberi implikasi dari aspek ekonomi dan sosial kepada pekerja dan pemilik ladang dan kilang sawit, malah turut memberi kesan kepada hasil pendapatan, khususnya negeri Sabah dan negara secara amnya.
Kutipan hasil daripada sektor perladangan sawit adalah amat diperlukan oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam
membiayai program membendung penularan wabak Covid-19 dan juga memberi bantuan secara langsung kepada rakyat Negeri Sabah yang terjejas semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan.
Penutupan operasi ladang dan kilang sawit juga dilihat akan merencatkan dan menjejaskan rantaian pengeluaran bekalan minyak masak untuk keperluan domestik, khususnya di Negeri Sabah.
Mohd Khairuddin berkata, kementerian mencadangkan supaya ladang dan kilang sawit di enam daerah tersebut yang tidak terjejas dengan penularan wabak Covid-19 serta jauh di pedalaman dan terasing daripada kawasan yang terkesan dengan wabak tersebut dapat diteruskan.
Ladang dan kilang di kawasan ini dicadangkan beroperasi dengan pematuhan sepenuhnya secara lebih ketat langkah-langkah pencegahan dan prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kementerian juga menasihatkan kepada kesemua penggiat industri sawit negara untuk sentiasa mematuhi perintah kawalan pergerakan termasuk meminimumkan tenaga kerja dan pergerakan pekerja dengan menjaga
penjarakkan sosial serta mengamalkan penjagaan kebersihan pada setiap masa. – MalaysiaGazette