Home Ekonomi Rehda saran Rang Undang-undang Covid-19

Rehda saran Rang Undang-undang Covid-19

KUALA LUMPUR – Negara memerlukan rang undang-undang pengecualian ‘force majuere’ yang menyeluruh atau Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah Sementara) bagi melindungi peserta dari semua industri secara sah, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia.

‘Force Majeure’ adalah klausa umum dalam kontrak yang pada dasarnya membebaskan kedua-dua pihak daripada liabiliti atau kewajiban akibat peristiwa luar biasa serta keadaan di luar kawalan mereka yang terlibat.

Presiden Rehda Datuk Ir Soam Heng Choon berkata, ini bertujuan untuk memastikan setiap pihak dilindungi daripada sebarang bentuk tindakan yang akan dikenakan dalam keadaan normal.

Beliau memberi contoh dalam sektor hartanah, yang mana pembeli sekarang ini gagal memenuhi tanggungjawab mereka yang berkaitan dengan pelbagai proses pembelian.

Ini merangkumi kegagalan menyelesaikan dokumentasi dan bayaran kemajuan yang mesti dibuat dalam tempoh 21 hari selepas institusi kewangan mengecilkan operasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pemaju juga berkemungkinan tidak dapat memenuhi tarikh penyelesaian yang dirancang akibat daripada PKP, yang turut menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan, oleh itu masa yang diambil untuk mencatat kemajuan dalam aktiviti pembinaan akan tertangguh,” kata Soam dalam satu kenyataan hari ini.

Enakmen rang undang-undang itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pembeli, pemaju, pembiayaan dan pemain industri hartanah yang lain, tetapi juga industri berkaitan yang membentuk ekosistem ekonomi Malaysia.

Rang undang-undang ini akan mencapai ke satu tahap yang mampu melindungi semua pihak daripada dianggap melanggar kontrak berikutan ketidakupayaan mereka untuk membuat pematuhan kepada sebarang perjanjian.

“Wabak pandemik yang belum pernah terjadi sebelum ini diramalkan akan mempunyai kesan jangka panjang dalam semua aspek.

“Oleh itu, kami menyeru agar kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya ke atas cadangan Rang Undang-undang COVID-19 (Langkah Sementara), untuk memastikan beban semua rakyat Malaysia tidak diberatkan lagi,” tambah Soam.

Sementara itu, Rehda melahirkan penghargaan kepada kerajaan atas banyak langkah-langkah yang diambil bagi melindungi rakyat yang menghadapi kesulitan dalam memenuhi tanggungjawab kewangan mereka semasa tempoh yang mencabar ini. – MalaysiaGazette