Home Nasional Agong, Permaisuri selesai jalani kuarantin diri, bebas COVID-19

Agong, Permaisuri selesai jalani kuarantin diri, bebas COVID-19

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selesai menjalani kuarantin diri selama 14 hari dan disahkan bebas COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua dan ahli keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat dan menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas doa dan keprihatinan semua terhadap kesejahteraan dan kesihatan Seri Paduka sekeluarga.

Seri Paduka berdua dan keluarga menjalani kuarantin diri di Istana Negara seperti dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan pengesahan beberapa kakitangan Istana Negara positif COVID-19 oleh pihak KKM dua minggu lepas.

“Berikutan kes-kes positif tersebut, sejumlah 116 kakitangan Istana Negara turut diarahkan oleh KKM menjalani saringan dan kuarantin diri selama 14 hari yang juga berakhir pada hari ini (Khamis, 9 April 2020),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah, yang amat prihatin terhadap perkembangan terkini wabak COVID-19, mengulangi titah agar rakyat mematuhi semua nasihat dan perintah yang dikeluarkan KKM dan pihak berkuasa, khususnya perintah kuarantin diri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

— BERNAMA