SHAH ALAM – Empat individu termasuk seorang Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang ditahan kerana bermain badminton dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didenda RM1,000 setiap seorang.
Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, kesemua mereka dituduh di Mahkamah Shah Alam pada 7 dan 8 April secara berasingan.
“Mereka telah dituduh 7 April dan 8 April telah dihukum di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan 2020) dan mereka telah membayar denda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.
Jumaat lalu, seorang Ahli Majlis MBSA dan tiga rakannya ditahan polis kerana melanggar arahan PKP dengan bermain badminton di Dewan MBSA, Seksyen 25, Shah Alam.
Dalam pada tu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan ahli MBSA itu tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin.
Mengulas mengenai pematuhan PKP yang kini memasuki hari ke-23, Ismail menasihatkan ibu bapa agar memantau anak-anak mereka supaya tidak berkeliaran di tempat awam tanpa sebab munasabah.
Ini kerana, jelasnya, masih terdapat remaja yang didapati berada di luar rumah sewaktu pemantauan PKP dibuat oleh pihak polis.
“Masih lagi berlaku anak-anak remaja bermain, berlegar di luar rumah. Walau apa pun tujuannya, jika tidak menepati kehendak peraturan2 ini ia merupakan satu kesalahan yang dianggap melanggar PKP,” tambah beliau.-MalaysiaGazette