PUTRAJAYA – Gara-gara tamak mahu mengaut keuntungan luar biasa akhirnya tiga peniaga berputih mata apabila dikompaun sehingga RM250,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, ketiga-tiga pesalah ini melakukan kesalahan menyorok topeng muka bagi tujuan menjualnya kembali dengan harga lebih tinggi selain ada peniaga juga menjual produk itu dengan harga tinggi.
Iskandar mendedahkan topeng muka berkenaan disorok untuk dijual secara tersembunyi kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM3.50 seunit melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM1.50 seunit.
“Kita telah lakukan rampasan 223,000 unit topeng muka tiga lapis bernilai RM446,000 dalam serbuan di sebuah premis di Kota Damansara baru-baru ini ketika musim PKP ini.
“Hasil siasatan kita juga dapati produk itu sengaja di sorok untuk di jual melalui atas talian dengan harga lebih tinggi.
“Suspek menggunakan laman sosial Facebook bagi mengiklan penjualan topeng muka. Kaedah penjualan adalah melalui pesanan aplikasi WhatsApp dan barang yang dibeli akan dihantar melalui pos atau melalui kaedah Cash On Delivery (COD),” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kata Iskandar lagi, suspek pertama seorang warganegara Malaysia berumur 31 yang menjual topeng muka dengan harga melebih maksimum telah dikenakan kompaun sebanyak RM50,000.
“Ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011), sekiranya gagal membayar kita akan dakwanya di mahkamah.
“Bagi suspek kedua dan ketiga pula, juga warganegara Malaysia masing-masing 39 dan 54 tahun pula dikenakan kompaun menyembunyikan barang kawalan iaitu topeng muka sebanyak 216,500 pula dikompaun RM100,000 masing-masing.
“Keseluruhan nilai kompaun ini adalah sebanyak RM250,000 setakat ini, kita juga sentiasa pantau dan turun padang pada tiap waktu walaupun hari minggu bagi memastikan kesalahan seperti ini tidak dilakukan,” tegasnya.
Iskandar dalam nada tegas berkata, pihaknya akan terus bertindak tegas tanpa berfikir panjang kepada segelintir peniaga yang cuba mengambil kesempatan pada masa ini.
“KPDHEP sebenarnya amat serius, topeng muka adalah barangan kawalan dan kita akan pastikan ianya mudah diperolehi lagi-lagi ketika wabak Covid-19 sedang menular.
“Malah harganya juga tidak sepatutnya di jual melebihi apa yang telah ditetapkan kerajaan ketika ini, jangan main-main atau ambil mudah atau anda juga yang rugi kerana akan di kompaun dengan jumlah puluh dan ratus ribu.
“Orang ramai juga boleh membuat aduan dan menyalurkan maklumat pada bila-bila masa kepada KPDHEP melalui hotline kami yang sedia ada iaitu 1800-886-800 atau 03-88826088/6245 di ‘Enforcement Command Centre’ atau emel kepada aduan.kpdnhep.gov.my ,” ujarnya.
Sementara itu, Iskandar juga memberi jaminan cecair pembasmi kuman atau ‘hand sanitizer’ serta topeng penutup mulut dan hidung mencukupi sepanjang PKP sedang dilaksanakan.
“KPDNHEP sentiasa memantau peniaga yang menjalankan penjualan secara dalam talian supaya tidak menjual dengan harga lebih tinggi seperti ditetapkan.
“Pada masa ini sebanyak 1.1 juta penutup hidung dan mulut dihasilkan sehari pengilang dan selebihnya diimport dari luar,. Dari jumlah itu sebanyak 1 juta diperlukan sehari oleh orang ramai dan 12 juta seminggu bagi kegunaan hospital,” jelasnya.
MalaysiaGazette difahamkan serbuan ini dijalankan hasil daripada maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan penjualan topeng muka melebihi harga maksimum kawalan menerusi Facebook Face Mask Wholesale (Malaysia Only) dan Pseud John Elton.
Premis itu yang juga merupakan sebuah restoran Tradisional Cina Muslim di Kota Damansara bagi tujuan menyimpan stok sebelum di jual atas talian dengan harga lebih tinggi memandangan topeng muka ketika ini mendapat permintaan luar biasa. –MalaysiaGazette