Home Nasional Penentuan BPN ikut rekod percukaian 2018

Penentuan BPN ikut rekod percukaian 2018

Pejabat Pengarah dan Cawangan Siasatan Putrajaya ditutup mulai esok dan dibuka 2 Februari ini.

KUALA LUMPUR- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan penentuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dibuat dengan memadankan kriteria pendapatan untuk bantuan tersebut dengan rekod percukaian Tahun Taksiran 2018 dan pangkalan data kerajaan.

“Merujuk isu beberapa Ahli Parlimen dan orang kenamaan turut layak dan menerima BPN, perlu dijelaskan bahawa kelulusan dibuat secara automatik berdasarkan data taksiran pendapatan individu tersebut pada tahun 2018 dalam rekod LHDNM.

“Namun demikian, LHDNM menerima baik Ahli Parlimen yang secara sukarela telah memulangkan bayaran BPN tersebut. Sekiranya mana-mana Ahli Parlimen atau penerima BPN lain yang ingin memulangkan semula bayaran BPN tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah LHDN, semakan awal mendapati proses penentuan BPN adalah teratur dan mereka yang diluluskan mempunyai tahap pendapatan bercukai dalam julat pendapatan yang layak menerima bantuan tersebut.

Bagi Ahli Parlimen atau penerima BPN yang berhasrat untuk memulangkan semula bantuan tersebut, mereka boleh mengemukakan surat penolakan dengan menyatakan nama penuh dan nombor MyKad; lampirkan draf bank atau cek atas nama Akauntan Negara Malaysia mengikut jumlah pemulangan; dan mengemukakan surat tersebut kepada Kementerian Kewangan di alamat Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Malaysia Presint 2, 62592 Putrajaya.

Sebelum ini tular, beberapa ahli Parlimen termasuk Fuziah Salleh dan Hassan Karim layak untuk mendapatkan BPN.

Artikel berkaitan: BPN: Fuziah dan Hassan Karim pun dapat

Selain itu, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga layak menerima BPN.

Ini menyebabkan banyak pihak meminta LHDN segera membetulkan kesilapan dalam sistem penentuan individu yang layak untuk menerima bantuan tunai secara one-off yang diumumkan Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette