Home Pendapat Covid-19 – Ujian integriti syarikat?

Covid-19 – Ujian integriti syarikat?

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba (tengah) bergambar bersama pemberi sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Covid-19 Kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2020

USAHA kerajaan menyalurkan dana berjumlah RM15.9 bilion iaitu RM13.8 bilion untuk subsidi upah dan RM2.1 bilion geran khas untuk membantu lebih 700, 000 PKS yang layak wajar dipuji.

Ia adalah langkah yang disambut baik oleh majoriti PKS yang terkesan oleh penularan COVID19.

Tidak mustahil syarikat besar juga sedang menanti pakej bantuan untuk mereka.

Perkara ini tidak mustahil berlaku atas alasan untuk memastikan PKS yang menjadi pembekal kepada syarikat besar, maka syarikat besar perlu dibantu. Tidak mustahil berbilion-bilion ringgit akan disalurkan kepada mereka.

Persoalannya ketika syarikat besar ini sedang maju dan nampak hebat, berapa peratus atau puluh juta dari pendapatan mereka dalam setahun diberikan kepada rakyat dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR)?

Realiti Dunia Rakyat Biasa vs Korporat

Usaha murni kerajaan hari ini membantu setiap lapisan masyarakat sebenarnya lebih pantas disahut oleh rakyat biasa berbanding syarikat besar dan sederhana.

Jelas sebahagian rakyat Malaysia, yang mana ramai individu biasa iaitu bukan siapa-siapa telah tampil meghulurkan sumbangan. Dari sekecil-kecil jumlah kepada yang semampu mereka.

Ada antara mereka melakukannya secara nyata iaitu dengan hasrat untuk menjadi motivasi diri dan teman-teman mahupun syarikat besar dan sederhana agar turut sama membantu dan ada juga melakukannya di belakang tabir atau secara senyap.

Tiada apa balasan dipinta, tiada pelepasan cukai, tiada rebat cukai atau apapun untuk mereka yang membantu insan-insan susah di ceruk-ceruk kampung, taman-taman perumahan rakyat dan projek-projek perumahan rakyat (PPR) yang diketahui umum penghuninya adalah golongan B40 atau orang susah.

Sumbangan ini tidak sama dengan syarikat besar yang mana mereka mendapat liputan media massa, dapat berjumpa pemimpin besar, mungkin dapat pelepasan cukai atau rebat cukai.

Tidak mustahil juga untuk mereka berpeluang mendapat projek-projek di masa hadapan atas kebaikan yang mereka hulurkan apabila keadaan kembali kepada sedia kala. Itulah lumrah dunia.

Memperhalusi Punca Permasalahan

Tiada siapa dapat menafikan kesan negatif Covid-19 kepada ekonomi dan kehidupan rakyat baik di Malaysia mahupun seluruh warga dunia.

Namun, tanpa disedari Covid-19 ini juga menjadi medan menguji integriti rakyat, syarikat besar, sederhana dan kecil di Malaysia.

Dalam konteks bantuan kepada syarikat, 3 persoalan perlu dijawab:

1. Adakah semua syarikat tenat?
2. Sedikit sangatkah syarikat yang bersedia menghadapi musibah seperti hari ini?
3. Tidakkah syarikat berkaitan mempunyai simpanan atau aset?

Jika kesemua jawapan adalah ia, maka mereka permasalahan kewangan mereka memang tenat dan wajar dibantu.

Pastinya pendekatan berhemah perlu digunakan dalam membantu mereka kerana amat tidak wajar jika ada ruang untuk mana-mana pihak menangguk di air keruh.

Namun satu perkara yang wajar syarikat berkaitan perhalusi ialah menyemak segera model perniagaan mereka.

Dengan kata lain, model perniagaan semasa mereka tidak berdaya saing atau tidak kompetitif.

Jika bukan isu model perniagaan mungkin ia berkait dengan isu moral dan integriti.

Jika jawapan kepada persoalan-persoalan di atas adalah tidak, maka adalah tidak bermoral dan berintegriti syarikat terlibat tetap mahukan bantuan dari kerajaan.

Di sinilah isu dan permasalahan prinsip moral dan integriti pemain industri. Bantuan sewajarnya untuk mereka yang benar-benar memerlukan.

Pertubuhan perniagaan pastinya memperjuangkan kebajikan anggotanya tetapi di masa sama setiap syarikat ini perlu ada jiwa besar dan kesungguhan untuk membantu negara.

Covid- 19 Menguji Prinsip Moral & Integriti

Wabak ini sebenarnya menjadi medan menguji prinsip moral dan integriti serta hati budi syarikat besar, sederhana dan kecil Malaysis iaitu dalam konteks ‘corporate social responsibility (CSR)’.

Persoalan aspek moralnya ialah berapa banyakkah syarikat pelbagai saiz tersebut masih melakukan CSR sebelum krisis ini wujud dan ketika krisi ini berlaku dalam membantu negara dan masyarakat yang teruk terjejas?

Atau mereka tidak peduli sama sekali melainkan terus ‘menekan’ kerajaan untuk mendapatkan dana bantuan lebih besar?

Di masa sama, berapa banyakkah di antara mereka yang telah atau sanggup menggunakan simpanan atau mencairkan aset contohnya pasca COVID19 nanti demi memastikan kelangsungan perniagaan mereka termasuklah dalam menjamin kebajikan pekerja.

Covid-19 turut menguji ketinggian peribadi pemilik, ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat besar, sederhana dan kecil.

Namun negara pastinya menanti syarikat besar, sederhana dan kecil yang tampil memaklumkan kepada negara, terima kasih Malaysia atas inisiatif yang diusahakan tetapi kami tidak perlukan bantuan tersebut kerana kami mahu jadi sebahagian dari solusi atau penyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Negara pastinya menanti jiwa negarawan tokoh korporat dan pemain industrinya.

Penulis adalah Profesor Pengurusan Strategik UUM