KUALA LUMPUR – Dua buah pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), A400M milik TUDM menghantar 2.9 juta keping topeng muka (face mask) ke Sabah dan Sarawak hari ini
Selain topeng muka, pesawat itu turut membawa 44 unit kotak perlindungan (aerosol box), spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta keperluan peralatan Pakaian Perlindungan iri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan mendepani pandemik Covid-19 di kedua-dua negeri itu.
Menurut kenyataan TUDM, pesawat A400M pertama yang membawa lebih 2.9 juta keping topeng mulut dan hidung daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 8.15 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 11 pagi.
“Topeng muka ini telah diterima oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Sabah selaku Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut TUDM, sebanyak 2.86 juta keping topeng muka akan disalurkan kepada negeri Sabah dan 107,500 keping akan disalurkan kepada Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut kenyataan itu, TUDM juga akan melaksanakan satu lagi penerbangan dalam masa terdekat bagi membawa 2,718,500 keping topeng muka daripada NADMA untuk Sarawak.
Katanya, pesawat A400M kedua yang membawa 44 unit kotak perlindungan (aerosol box) sumbangan Persatuan Bekas Putera (Old Putera Association (OPA) untuk Jabatan Kesihatan negeri Sabah dan spesimen klinikal tambahan untuk fasiliti KKM berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 10.51 pagi.
“Pesawat ini melaksanakan penerbangan ke Kota Kinabalu dan Kuching bagi penghantaran barang-barang tersebut.
“Spesimen klinikal tambahan KKM terdiri daripada bekalan peralatan makmal, farmasi, PPE dan peralatan perubatan kritikal untuk disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak.
“Peralatan perubatan tersebut adalah dari KKM, Malaysia Relief Agency (MRA) dan NADMA,” menurut kenyataan itu.
Katanya, TUDM akan memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada kerajaan serta agensi-agensi lain dalam usaha menangani penularan wabak bahaya ini demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette