Home Utama Gelandangan tidak dibenar ke jalanan lepas tamat PKP

Gelandangan tidak dibenar ke jalanan lepas tamat PKP

KUALA LUMPUR – Golongan gelandangan yang kini ditempatkan di anjung singgah tidak akan dibenarkan kembali hidup di jalanan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebaliknya golongan itu akan diberikan latihan sebelum ditawarkan pekerjaan bergaji bagi mengisi kekosongan sehingga 700 peluang pekerjaan.

“Para gelandangan ini selepas tamat PKP, mereka tidak akan dilepaskan untuk bergelandangan lagi

“Kita bersedia mengambil sekiranya sesuai bagi mereka yang sihat tubuh badan dan dalam kategori produktif, boleh dilatih dan bekerja.

“Kita akan sediakan peluang pekerjaan tidak kurang daripada 500 hingga 700 peluang pekerjaan,” katanya di Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurut Annuar, perkara itu telah dibincangkan dalam Pusat Pengurusan Krisis (CMC) dan beberapa syarikat sedia menawarkan peluang pekerjaan.

“Saya berbincang di CMC dengan beberapa pihak untuk merancang bagaimana boleh kita sediakan latihan dan peluang-peluang pekerjaan kepada gelandangan,” katanya.

Jelas Annuar, dua jenis pekerjaan yang akan ditawarkan kepada golongan itu iaitu sebagai operator pengeluaran di sektor perkilangan sekitar Lembah Klang dan pekerja am di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mereka yang ingin bekerja di sebuah kilang pembuatan sebagai operator pengeluaran dengan gaji permulaan RM1,400 beserta elaun-elaun tertentu.

“Mereka juga boleh bekerja secara harian di bawah kendalian DBKL sebagai pekerja am, dengan gaji harian tidak kurang RM1,200 hingga RM1,400 sebulan,” katanya.

Katanya lagi, kesemua yang layak boleh memulakan kerja masing-masing selewat-lewatnya pada 1 Mei ini bergabung kepada tempoh PKP dari semasa ke semasa.

“Mereka ini akan menjalani sedikit latihan untuk membolehkan kita membuat saringan dalam tempoh seminggu akan datang.

“Mereka dijangka memulakan kerja adalah pada 1 Mei bergantung kepada PKP sama ada masih berkuatkuasa atau ditamatkan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Gelandangan ni asal dari mana ye.. Mana keluarga mereka, dah kena halau ke? Gelandangan sangat bertuah dilayan dengan baik, tu sebab gelandangan makin bertambah sejak dulu, Orang ada otak, orang ada moral, orang bukan pemalas tak kan buat tu semua pada diri sendiri. Selidik abis2 dorang tu. Jangan ada yang penagih, dan jangan ada jadi gelandangan kerana sedang diburu polis. Dan yang penting jangan pula warga asing dilayan melebihi warga sendiri. Rakyat Malaysia pun ramai yang sedang menganggur!

Comments are closed.