Home Nasional Kehidupan sekarang mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala – Muhyiddin

Kehidupan sekarang mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala – Muhyiddin

Mazalan Salim, 68, ditemani isterinya, Noraini Muhamad, 61, serta ahli keluarganya mengikuti Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Segambut Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan kemungkinan rakyat negara ini perlu berhadapan dengan senario seperti sekarang ini untuk jangka masa yang lebih lama lagi untuk memastikan pandemik Covid-19 benar-benar dapat diperangi.

Kata Perdana Menteri, kehidupan sekarang ini mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala.

“Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak.

“Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawih lah di rumah bersama keluarga.

“Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Dalam perutusan itu, Muhyiddin mengumumkan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 28 April 2020.

Perdana Menteri berkata, walaupun sukar untuk semua pihak membayangkan apa yang akan dilalui tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi.

Katanya, kehidupan rakyat untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa.

“Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal” atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi,” katanya.

Muhyiddin mengambil contoh mudah misalnya amalan berjabat tangan yang biasa dibuat dan dianggap janggal atau tidak beradab jika tidak diamalkan setiap kali bertemu orang lain.

Katanya, keadaan berbeza sekarang ini di mana orang ramai tidak lagi boleh berjabat tangan apbila berjumpa untuk mengelak jangkitan virus Covid-19.

“Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu.

“Begitu juga perkara yang kita tak biasa buat sebelum ini seperti basuh tangan. Sekarang dan untuk masa yang akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap. Gunakan sabun, hand sanitizer dan sebagainya. Juga memakai face mask.

“Banyak lagi contoh lain yang tak perlu saya sebut kerana saya fikir saudara- saudari faham maksud kebiasaan baharu yang mesti kita amalkan dalam menjalani kehidupan seharian untuk tempoh yang mendatang,” katanya. – MalaysiaGazette