Home Nasional Selangor, Malayan Mansion terima makanan sejak semalam – Annuar Musa

Selangor, Malayan Mansion terima makanan sejak semalam – Annuar Musa

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 7 April lalu kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan mula menyediakan bekalan makanan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun kedutaan asing perlu menjaga kebajikan warganegara mereka, namun sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, bekalan makanan akan disalurkan sepanjang tempoh PKPD itu.

“Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan telah pun mengambil langkah-langkah yang kita fikirkan perlu.

“Mereka yang terlibat dengan PKPD khususnya di Selangor Mansion dan Malayan Mansion akan dibekalkan makanan tiga kali sehari secara percuma.

“Makanan diberikan dalam bentuk bungkusan yang dihantar ke tempat mereka iaitu makan pagi, makan tengahari dan makan malam.

“Ia telah pun mula disediakan sejak semalam lagi dan bekalan makanan itu akan disalurkan dengan secukupnya,” katanya ketika bersiaran langsung di Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), hari ini.

Pada 6 April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, di sini.

Menurut Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, arahan PKPD di Selangor Mansion dan Malayan Mansion melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu.

Beliau berkata, perintah ini akan berkuatkuasa mulai 7 April 2020 sehingga pengesanan ini tamat.

Menurut Annuar, bagi tujuan itu, pihaknya menerima tawaran bantuan daripada masyarakat Sikh di sini dari segi penyediaan makanan vegetarian.

“Saya telah bertemu dengan Presiden Persatuan Gurdwara atau rumah ibadat kaum Sikh bagi membantu kita membekalkan makanan vegetarian bagi yang memerlukan.

“Selain itu ada juga beberapa badan, yayasan dan NGO telah tampil ke hadapan dan saya mengucapkan setinggi perhargaan dan terima kasih kepada semua mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar bersama wakil Wisma Putra juga bertemu dengan beberapa wakil kedutaan asing yang mana warganegara mereka terlibat dengan PKPD ini.

“Kita ingin sekali lagi berkerjasama dengan semua pihak. Kebetulannya 97 peratus adalah warga asing termasuk tenaga kerja dari Bangladesh, India dan Pakistan.

“Sebentar tadi saya menemui sekali lagi dengan wakil-wakil ketiga-tiga kedutaan ini untuk memberikan perkembangan terbaru dari segi angka-angka untuk pengetahuan kedutaan mereka masing-masing.

“Kami juga ada menyampaikan beberapa permasalahan yang kita hadapi untuk membolehkan mereka memberikan apa juga bentuk kerjasama dan bantuan kepada warganegara mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, setakat ini jumlah positif jangkitan wabak Covid-19 dalam kawasan PKPD keempat itu kini mencecah 49 kes.

“Rekod terbaru selepas lebih banyak saringan dan ujian dilakukan kepada penghuni di situ mendapati terdapat sejumlah kes-kes baharu yang telah dikenalpasti.

“Ini satu perkara yang harus kita merasai bimbang pada masa ini di Selangor Mansion dan Malayan Mansion sudah pun ada 49 kes.

“Sementara di Menara City One ada 30 kes. Ini bermakna ada 79 kes dalam satu lokaliti yang kecil ini adalah sesuatu yang sedang diberikan perhatian oleh pihak berwajib,” katanya. – MalaysiaGazette