KUALA LUMPUR – Kira-kira 30 peratus atau enam daripada 12 kawasan Parlimen yang terletak dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diklasifikasikan sebagai zon merah akibat jangkitan wabak Covid-19.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun jumlah kes positif Covid-19 masih rendah yang direkodkan sejak semalam namun jumlah kawasan zon merah agak membimbangkan.
“Kawasan yang melepasi angka 40 yang menentukan klasifikasi kawasan merah di Wilayah Persekutuan bertambah kepada enam kawasan.
“Antara kawasan Parlimen itu ialah Seputeh, Segambut, Bukit Bintang, Putrajaya, Titiwangsa dan Bandar Tun Razak.
“Ia bermakna separuh daripada 12 kawasan Parlimen dalam Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya diklasifikasikan sebagai kawasan zon merah.
“Sehingga kini sejak semalam pertambahan kes baharu kekal terendah, iaitu pertambahan sebanyak 16 kes baharu di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika bersiaran langsung di Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.
Annuar berkata, jumlah zon merah itu merupakan satu cabaran kepada pihaknya khususnya dalam Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan.
“Dengan enam daripada 12 kawasan di Wilayah Persekutuan bermakna tugas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan yang saya pengerusikan semakin mencabar.
“Tapi Insya-Allah secara bersama kita akan dapat melakukan yang terbaik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette