
KUALA LUMPUR- Setakat semalam seramai 7,759 individu telah ditahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Sejumlah 373 telah dituduh di mahkamah.
Pada semalam sahaja, pihak polis telah menahan seramai 1,095 individu kerana ingkar PKP manakala 815 individu telah dikenakan kompoun RM1,000.
Seramai 242 individu direman dan 38 lagi dijamin polis.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lebih bertegas terhadap individu yang masih ingkar selepas ini.
“Bagi tempoh lanjutan PKP seperti yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PDRM akan lebih tegas dan tidak akan berkompromi dengan individu yang masih ingkar dan degil.
“Kadar pematuhan masih lagi sama iaitu sekitar 97 peratus,” katanya semasa sidang media hari ini.
Tambahnya, mereka yang ingkar dalam mematuhi PKP kali ini akan ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 24 (342) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Bagi kesalahan pertama, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette