USAHA negara China menghantar bekalan topeng muka, cecair basmi kuman dan pelbagai alat perubatan ke Malaysia dipuji pelbagai pihak ketika Malaysia berada pada saat sukar virus Covid 19. Pelbagai bantuan kesihatan dari China juga dikatakan
menjadi wadah pelaksanaan membuka Jaluran Kesihatan Laluan Sutera ketika zaman penularan virus Korona Covid 19 ini. Selain Malaysia, China juga memberi bantuan kepada Sepanyol pada 21 Mac 2020 lalu dengan pemberian topeng penutup muka dan hidung juga peralatan PPE menggunakan tren asal Silk Road. Ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu, kerajaan dilihat masih memberi muka kepada para pelancong dari China dengan hanya menghalang kemasukan pelancong dari Wuhan juga Wilayah Hubei, China.
Dasar ini menimbulkan tanda tanya kepada rakyat yang risau akan penularan wabak virus Covid 19 dari pelancong negara China. Namun setelah negara China dikatakan bebas dari wabak Covid-19 kini dan peratusannya hanya naik sedikit sahaja berbanding beberapa kes berbanding dahulu, dilihat menghulurkan bantuan kepada Malaysia dengan menghantar bantuan kesihatan seperti yang disebutkan awal tadi. Menteri Agama Datuk Seri Zulkifli Albakri di dalam artikel beliau tentang sejarah diplomatik antara Malaysia dan China ada memetik usaha kerajaan China pada zaman Puteri Hang Li Po semasa Kesultanan Melayu Melaka dahulu, ada menghantar tabib ke Melaka. Penghantaran tabib, topeng muka kesihatan dan sebagainya ini sebenarnya adalah sebahagian daripada rangka kerja diplomasi kesihatan umum antarabangsa yang diamalkan sejak beratus tahun dahulu.
Dalam senario kerajaan Malaysia moden pula, sebenarnya bantuan kesihatan kepada negara luar telah lama dipraktikkan oleh Malaysia sejak kerajaan Barisan Nasional yang dahulu. Antaranya ialah bantuan kesihatan kepada pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh semasa zaman mantan Perdana Menteri dahulu Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2018.Sebagai contoh terdapat Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh yang ditaja Malaysia.Malaysia ketika itu merupakan
negara pertama yang menubuhkan hospital medan kelengkapan terkini di Cox's Bazar dengan meletakkan kapasiti maksimum 100 buah katil. Hospital medan tersebut dikendalikan oleh kakitangan perubatan yang terlatih. Usaha tersebut berupa penyelesaian sementara bagi meringankan penderitaan pelarian Rohingya berikutan keadaan cuaca yang melampau ketika itu.
Operasi hospital medan ini diketuai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan sokongan Majlis Keselamatan Malaysia, Kementerian Luar Negeri, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan seperti Malaysian Relief Agency, Islamic Medical Association Relief Team, Mercy Malaysia dan Humanity Heroes. Manakala, pembinaan hospital medan dan penyediaan aset perubatan serta latihan teknikal kakitangan perubatan awam dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia.Di sini kita melihat selain pelbagai
agensi kerajaan Malaysia, pertubuhan sukarelawan berdasarkan kesihatan dan kemanusiaan telah banyak membuat kerja amal berlandaskan kesihatan umum di dalam dan di luar negara. Namun usaha NGO juga kerajaan ini dikatakan lebih ke arah aktiviti masyarakat bertamadun berbanding rangka kerja diplomasi kesihatan antarabangsa.
Ketika awal penularan wabak penularan wabak virus Covid 19, Malaysia telah berhasrat menghantar 18 juta sarung tangan ke China bagi menangani wabak tersebut. Malah ketika penularan wabak Ebola di negara Afrika seperti Sierra Leon, Liberia, Guinea dan Kongo pada tahun 2014 Malaysia telah menghantar 20 juta sarung tangan ke negara -negara tersebut. Amalan diplomasi antarabangsa kesihatan awam juga dilihat diamalkan oleh negara-negara lain di mana Perancis, Korea Selatan juga United Kingdom ada menawarkan bantuan antarabangsa kesihatan
kepada China semasa awal penularan penularan wabak virus Covid 19.Terkini Malaysia memohon China menghantar bantuan pakar kesihatan ke Malaysia bagi menangani wabak virus Covid 19 di Malaysia.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) , diplomasi kesihatan umum antarabangsa adalah merupakan gabungan antara undang-undang antarabangsa, kesihatan umum, pengurusan, undang-undang dan ekonomi.Ia merupakan idea baru yang secara tradisi dahulunya adalah bantuan kemanusiaan berkaitan kesihatan. Namun kini ia bertransformasi ke arah
satu bentuk disiplin baru yang mengorak maju selangkah ke depan dengan berlandaskan prinsip keselamatan nasional dan antarabangsa. Diplomasi kesihatan antarabangsa fokus kepada perjanjian yang membentuk dan mengurus polisi antarabangsa berdasarkan persekitaran berkaitan kesihatan.Disiplin ini juga menghubungkan antara dasar luar negara, perdagangan dan kesihatan.
Diplomasi kesihatan antarabangsa ini penting kerana boleh membantu mewujudkan cara yang lebih sistematik dan proaktif dalam menganalisa dan memahami isu-isu penting, terkini dan akan datang dalam hal kesihatan umum dan antarabangsa. Selain itu ia juga dilihat sebagai membina kapasiti negara-negara ahli bagi membuat tindakan yang kolektif juga mengambil peluang mengurangi pelbagai risiko kesihatan. Diplomasi kesihatan antarabangsa ini perlu terutamanya sejak akhir-akhir negara dunia berdepan dengan pelbagai isu kesihatan sebagai contoh penularan pelbagai jenis virus terkini Covid-19, juga SARS beberapa tahun lepas, yang menular bukan sahaja dalam negara tetapi juga melangkau sempadan negara.Ia memerlukan usaha bersama dengan respon dasar kesihatan secara bersepadu
bagi mengekang isu-isu kesihatan yang mencabar.
Sistem kesihatan kebangsaan dilihat memberi respon bagi mengatasi permasalahan kesihatan umum sesuatu negara sahaja, namun dari segi antarabangsa terdapat keperluan untuk memahami risiko kesihatan antara sempadan.Dalam dunia yang serba global sekarang ini, perpindahan manusia, kapital juga barangan dan perkhidmatan, kebarangkalian penularan wabak pandemik adalah lebih meluas dan besar. Dicadangkan selain kepentingan diplomat-diplomat, mereka perlu dibantu pakar kesihatan untuk menguruskan hubungan antarabangsa berkaitan kesihatan umum juga keperluan menjadi wakil di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), WHO dan pelbagai pertubuhan berteras kesihatan yang lainnya. Terdapat juga keperluan atase kesihatan pelbagai negara untuk memberikan kepakaran
kesihatan umum di peringkat antarabangsa. Dijangkakan dengan diplomasi kesihatan umum antarabangsa ini akan membuat perpindahan ilmu juga perpindahan teknologi.
Kepentingan diplomasi yang secara umumnya akan mengukuhkan hubungan erat, berbincang untuk kebaikan bersama, perbincangan ‘common interest’, ‘common ground’,pertikaian dengan konsep menang-menang, menyelesaikan konflik , membalas perilaku yang baik dengan ucapan yang baik juga
regu kepada negara kuasa besar dunia dari sebelah Timur terutamanya.Oleh itu diplomasi kesihatan umum antarabangsa selain mencapai objektif diplomasi secara umum diharapkan akan memberi impak yang positif, efektif juga bersepadu bagi meningkatkan tahap kesihatan umum masyarakat dunia secara seimbang. Pembaikan dalam kesihatan umum seharusnya dinikmati semua negara dunia dan bukanlah hak istimewa sesuatu kelompok negara sahaja.
Penulis menjangkakan pada masa akan datang pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu , WHO juga pelbagai pertubuhan dunia lain akan menggerakkan satu konvensyen antarabangsa berkaitan
kesihatan dikatakan untuk kebaikan semua. Panduan-panduan WHO juga tekanan politik terhadap WHO mungkin dilihat tidak cukup kukuh untuk dilaksanakan oleh negara-negara dalam menyelesaikan isu kesihatan umum yang merentas sempadan. Keperluan asas undang-undang yang lebih tegas dirasakan perlu dalam menangani pelbagai isu kesihatan umum yang kini dilihat bersifat rentas sempadan. Apatah lagi ura-ura untuk mengheret sesebuah negara ke mahkamah antarabangsa atas isu pandemik kesihatan umum juga perlulah berlandaskan lunas undang-undang yang jelas dan diterima masyarakat dunia. Secara amnya populasi domestik dikatakan berkaitan dengan kesihatan umum antarabangsa kerana terdapat simbiotik antara polisi kesihatan dunia dengan tahap domestik.
Langkah yang dilaksanakan oleh sesebuah di peringkat antarabangsa sebenarnya dalam isu kesihatan umum menggambarkan apa-apa yang dibangunkan dan dilaksanakan di peringkat nasional. Oleh itu, Malaysia perlulah merangka polisi juga dasar kesihatan umum yang merangkumi pandemik juga kesediaan dengan isu-isu akan datang , dari bersikap reaktif jika mahu berperanan dengan baik di peringkat antarabangsa. Malaysia dikatakan hampir menyelesaikan masalah Covid-19 dengan berkesan selain China, yang awal sembuh Covid-19 di dunia. Namun dirasakan sikap segelintir masyarakat yang tidak
bertanggungjawab melambatkan proses penyembuhan penularan virus tersebut.
Oleh: Dr.Noor Dzuhaidah Osman, Pensyarah Kanan (Undang-undang Biokeselamatan), Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia