Home Nasional Dua penghuni Selangor Mansion dibawa keluar dipercayai suspek Covid-19

Dua penghuni Selangor Mansion dibawa keluar dipercayai suspek Covid-19

Seorang penghuni Selangor Mansion dipercayai suspek positif Covid-19 dibawa keluar oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia di Selangor Mansion, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 11 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Dua penghuni di Selangor Mansion disyaki mempunyai simptom jangkitan Koronavirus 2019 (Covid-19) dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Mereka dibawa keluar sekitar 11.30 pagi tadi menggunakan ambulans Pejabat Kesihatan Setapak Wilayah Persekutuan.

Ambulans itu memasuki Jalan Masjid India dan berhenti di hadapan Balai Polis Masjid India yang mana terletaknya bangunan Selangor Mansion sekitar 11.10 pagi tadi.

Beberapa individu dipercayai pegawai perubatan Kementerian Kesihatan telah hadir melapor diri di balai berkenaan beberapa minit sebelum ambulans tersebut tiba.

Sebelum dua penghuni Selangor Mansion dibawa turun, pegawai kesihatan lengkap berpakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) kelihatan bersiap sedia berdiri di pekarangan bangunan itu.

Turut kelihatan beberapa pegawai bersut PPE dengan peralatan nyahkuman sebelum dua individu muncul bersama pegawai kesihatan menuju ke ambulans dengan beg galas hitam difahamkan mengandungi pakaian peribadi.

Mereka kemudian masuk ke dalam ambulans yang bersiap sedia sebelum keluar meninggalkan Jalan Masjid India sekitar 11.40 pagi tadi.

Terdahulu proses nyahkuman dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai sekitar 9.30 pagi tadi sebelum anggota Rela seramai 40 orang terlibat dalam tugas mengawal situasi di Jalan Masjid India bersama pasukan polis terhadap Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Sumbangan makanan yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan juga telah dikumpul oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diteliti kandungannya bagi memastikan ia selamat dan bernutrisi.

Kedua-dua bangunan itu dilaksanakan perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 7 April lalu di kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Zon Merah selepas 15 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kalangan 365 orang penghuni yang menduduki bangunan itu.-MalaysiaGazette