SEPERTI semua sudah maklum, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan Kerajaan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 April 2020 untuk memberi ruang kepada petuga-petugas kesihatan memerangai penularan Covid-19 selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat.
Menanti Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung pada semalam mengenai tempoh PKP boleh diibaratkan seperti gelisah dan berdebar menunggu pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bila tarikh mula berpuasa dan menyambut Hari Raya saban tahu.
Inti pati lain dalam Perutusan Khas Perdana Menteri semalam ialah Kerajaan bersetuju untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan akan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP Fasa 3 ini. Contohnya adalah perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik, kedai cermin mata dan dobi. Cuma dalam semua senarai yang diumumkan, yang menarik perhatian dan menjadi topik perbincangan di media sosial dan topik sembang adalah kedai gunting rambut.
Ia menarik pelbagai reaksi, ada yang bersetuju secara bersyarat, ada juga yang meminta Kerajaan menyemak kembali (membatalkan) keputusan ini. Bagi kaum Adam yang sekian lama berperang dengan emosi kerana rambut semakin panjang, kebenaran ini ibarat cahaya di hujung terowong.
Mungkin lebih dari empat minggu tidak menggunting rambut, ada yang sudah mula terbayang sedikit masa lagi akan menjadi Chuck Noland dalam filem Cast Away yang dilakonkan oleh Tom Hanks, rambut serabai tidak terurus bersama pakej jambang dan misai ‘bersepah’ apabila PKP tamat.
Malah ada sahaja kenalan penulis yang sudah nekad serah kepala kepada isteri untuk guntingkan rambutnya, ada juga yang bertukar imej menjadi Upin & Ipin (botak) sepanjang tempoh PKP ini. Tidak dapat dinafikan bahawa kedai gunting rambut mempunyai risiko untuk menjadi punca merebaknya virus berbahaya ini jika tiada kawalan yang ketat.
Ada benarnya kegusaran ini kerana melalui pemerhatian penulis, ia boleh terjadi kerana tidak berlaku social distancing semasa menggunting rambut. Faktor ruang kedai yang kecil dan pengudaraan yang terhad boleh membuatkan semua yang ada di dalam kedai tersebut akan terdedah untuk dijangkiti semasa sedang menunggu giliran yang selalunya mengambil masa lama.
Facebook Public Health Malaysia berkongsi cadangan beberapa langkah tegas yang perlu diambil oleh tukang gunting rambut, pelanggan dan premis gunting rambut. Antara yang disyorkan bagi tukang gunting rambut misalnya ditekankan untuk tidak mempunyai gejala demam, batuk dan selsema; memakai topeng muka; membasuh tangan sebelum dan selepas menyentuh pelanggan.
Pemilik premis juga perlu menyaring pelanggan dengan yang bergejala tidak dibenarkan masuk, mengawal kemasukan pelanggan; melakukan pembersihan /disinfeksi secara harian di premis; mempunyai pengudaraan yang baik; rambut yang telah digunting perlu dibersihkan; mewujudkan ruang menunggu dengan jarak 1 meter antara pelanggan. Selain itu penjagaan kebersihan/disinfeksi premis dilakukan secara hadiah dan melarang vape dan merokok.
Sebagai pelanggan disaran untuk menggunakan penutup muka terutamanya jika bergejala; membasuh tangan sebelum masuk dan duduk; sentiasa menjaga jarak sosial; tidak berebut; dan jangan berhimpit. Penulis mengambil pendirian bersetuju dengan keputusan kerajaan ini dengan cadangan agar tiada premis gunting rambut dibenarkan beroperasi di zon merah manakala di zon kuning dan hijau, bilangan premis dibenarkan beroperasi adalah terhad.
Di pihak Kerajaan sudah terang lagi bersuluh, kebenaran yang diberikan kepada sektor-sektor ekonomi yang beroperasi sepanjang PKP ini dengan syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang ketat yang wajib dipatuhi dan diikuti.
Tindakan dan ketegasan Kerajaan mungkin ada yang dilihat menyulitkan dan merenyahkan tetapi perlu disedari ekosistem ekonomi, cara bekerja, rutin kehidupan dan amalan biasa masyarakat telah berubah 360 darjah kerana Covid-19. Kita kini berada dalam fasa menjalani kehidupan dengan kebiasaan baharu. Kita perlu beradaptasi dengan keadaan ini kerana kita ingin menang melawan Covid-19!
Oleh: Mohd Zaini Othman, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.