KUALA LUMPUR- Individu yang enggan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjalani ujian saringan Covid-19 boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan arahan untuk membendung penularan wabak Covid-19 dipatuhi.
“Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam ini bukan hanya untuk mereka yang ingkar arahan polis dan tentera sahaja.
“Tetapi ia meliputi sesiapa sahaja yang gagal memberi kerjasama kepada petugas-petugas kerajaan termasuk anggota KKM seperti yang dikhabarkan dalam kes di pusat kuarantin, semalam,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Ismail Sabri, jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sejak beberapa hari lalu, ramai petugas kesihatan terutamanya doktor dan jururawat yang bertugas dalam pengurusan Covid-19 untuk rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara mengeluh kerana dikatakan kurang ajar.
Mereka yang digelar “kluster kayangan” ini ditempatkan di hotel-hotel sebagai pusat kuarantin bagaimanapun bersikap “diva” dan enggan memberikan kerjasama ketika diminta untuk disaring.
Malah ada yang menggelarkan para petugas kesihatan sebagai anjing kerana tidak berpuas hati kerana terpaksa mengikut prosedur yang telah ditetapkan KKM.-MalaysiaGazette
Mntak kjaan tegas dan 0% toleransi kpd golongan bodoh sombong ni, prasan mereka hebat ttpi mereka membhyakn golongan lain..