Home Dunia Pelancong luar pembawa jangkitan Covid-19 di China

Pelancong luar pembawa jangkitan Covid-19 di China

WUHAN – China hari ini melaporkan peningkatan jangkitan koronavirus, kebanyakannya daripada pelancong luar negara.

Sekatan perjalanan yang ketat di China sejak Januari telah menurunkan jumlah kes dengan cepat pada bulan Februari, walaupun ia telah merebak ke seluruh dunia.

Sehingga hari ini wabak itu telah menjangkiti 1.6 juta orang dengan 100,000 kematian.

Tetapi pihak berkuasa China bimbang kemungkinan gelombang kedua yang dicetuskan oleh ketibaan daripada pembawa atau pesakit tanpa gejala.

“Kita tidak boleh mengatakan bahawa tidak ada risiko yang berpotensi,” kata Wang Xinghuan, Presiden Hospital Wuhan di Leishenshan.

Walaupun sesetengah pakar berharap tiada gelombang kedua yang besar berlaku memandangkan trend virus ini masih belum dapat difahami dengan baik.

Sebagai contoh, bagaimana pesakit tanpa bergejala berjangkit.

“Pada masa ini, dari perspektif hospital, pemahaman kami tentang virus ini masih tidak mencukupi,” kata Wang.

Doktor di China telah melihat beberapa perbezaan dalam tingkah laku virus yang dialami di Eropah dan Amerika Syarikat, kata Zhao Yan, seorang doktor di Hospital Zhongnan Wuhan.

“Ada individu di Eropah dan Amerika Syarikat mendakwa kehilangan rasa dan bau, tetapi kita melihat sangat sedikit kes seperti itu,” kata Zhao kepada wartawan.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional berkata, sebanyak 46 kes baru dilaporkan pada hari Jumaat, termasuk 42 dari luar negara, meningkat berbanding 42 kes sehari sebelumnya.

Tetapi Wuhan yang menjadi punca wabak tidak merekodkan kes baru untuk hari ketujuh berturut-turut.

Daripada kes diimport itu, 22 kes direkodkan di wilayah timur laut Heilongjiang, yang mana penduduk China melintasi sempadan dari Rusia.

Pegawai kesihatan daerah berkata, semua kes baru yang diimport melibatkan kes seperti itu, walaupun wilayah tersebut mempunyai satu kes tempatan baru di Harbin.

Di tempat lain, Inner Mongolia memiliki pengumpulan harian sebanyak 27 kes import, juga dari Rusia.

Bandar Manzhouli di wilayah itu, yang terletak di sempadan Rusia, mengatakan pihaknya sedang menyediakan hospital baru untuk merawat pesakit virus ini. – MalaysiaGazette