KUALA LUMPUR-Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan Peperiksaan Semester II (PSPM) Program Matrikulasi KPM Sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei 2020 dibatalkan.
Dengan itu Program Matrikulasi KPM bagi Sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya hari ini.
Ia susulan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
“KPM menyedari keputusan peperiksaan tersebut amat penting kepada para pelajar Program Matrikulasi Sesi 2019/2020 yang mana akan digunakan bagi permohonan ke Universiti Awam (UA) kemasukan Sesi 2020/2021.
“Dengan ini, KPM memutuskan bahawa keputusan peperiksaan Semester II akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan yang telah dilaksanakan bagi semester tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut KPM, langkah tersebut adalah selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam pada 24 Mac 2020.
Justeru, keputusan akhir untuk pelajar Matrikulasi Sesi 2019/2020 adalah berdasarkan gabungan keputusan Semester I dan keputusan penilaian berterusan Semester II.
Dalam pada itu, KPM turut mengarahkan pelajar yang masih berada di kampus untuk terus kekal mematuhi arahan berkaitan.
“KPM akan terus memantau keadaan pelajar secara dekat dan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar adalah terpelihara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette