Home Nasional Wanita Rela sanggup hadapi risiko Covid-19 walaupun tidak disenangi keluarga

Wanita Rela sanggup hadapi risiko Covid-19 walaupun tidak disenangi keluarga

Rajeswari Kandasamy

KUALA LUMPUR – Kebimbangan ahli keluarganya tentang penularan virus Covid-19 ternyata tidak mematahkan semangat Rajeswari Kandasamy untuk terus menyumbangkan tenaga bertugas di Zon Merah Jalan Masjid India.

Ibu kepada tiga cahaya mata yang berasal dari Sentul itu berkata, anak-anak dan ibunya merayu supaya dia membatalkan hasrat untuk bertugas kerana tidak mahu dia dijangkiti virus yang sehingga kini telah mengorbankan 70 nyawa di Malaysia.

“Saya memang terkejut kerana emak saya sudah mula takut dan rayu supaya saya tidak pergi bertugas di kawasan Selangor Mansion dan Malayan Mansion kerana Covid-19.

“Dia risau mengenai ketiga-tiga anak saya di rumah takut terkena tempias jangkitan sekiranya saya keluar masuk ke rumah selepas tugas di lapangan.

“Namun saya menjelaskan kepada emak bahawa saya sudah berikrar untuk berbakti serta berkorban untuk negara sebagai anggota Sukarelawan (Rela) dan menyarung baju celoreng ini.

“Kini tugas menanti saya untuk berkhidmat membantu negara menyelamatkan rakyat dan memutuskan rantai Covid-19 maka saya memujuk emak dan sanggup mengharungi cabaran baharu ini walaupun tahu ia sangat berbahaya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Rajeswari, selama empat tahun bertugas sebagai anggota Rela, kebiasaannya dia dipanggil bertugas untuk mengawal lalu lintas majlis kenduri kahwin atau acara yang melibatkan orang kenamaan.

Sehubungan dengan itu, katanya, panggilan kali ini amat berbeza kerana ditugaskan di kawasan yang berisiko dan dikategorikan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Saya tak takut berkhidmat 12 jam setiap hari apabila dikehendaki pegawai atasan kerana saya dan rakan setugas lain mengikuti setiap kaedah kebersihan dan perlindungan diri yang disyorkan pihak kesihatan ketika berada di lokasi bertugas.

“Kami dibekalkan banyak uniform tambahan maka setiap kali habis bertugas di lkapangan saya akan balik rendam uniform dalam air garam sebelum basuh sebersih mungkin.

“Selepas membersihkan diri barulah saya membenarkan anak-anak dan emak saya mendekati saya,” tegasnya.- MalaysiaGazette

+ posts