Home Ekonomi 7 strategi menangani krisis hilang pekerjaan rakyat

7 strategi menangani krisis hilang pekerjaan rakyat

Segala usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat dan PKS khususnya dalam aspek bantuan kewangan berjumlah sekitar RM260 bilion di samping inisiatif masyarakat dan NGO prihatin di mana mereka memberi bantuan makanan kepada yang memerlukan wajar dipuji.-Gambar hiasan.

HINGGA hari ini COVID19 masih belum dapat ditumpaskan. Komitmen seluruh rakyat Malaysia dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat penting dalam memastikan negara menang dalam memerangi COVID19.

Segala usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat dan PKS khususnya dalam aspek bantuan kewangan berjumlah sekitar RM260 bilion di samping inisiatif masyarakat dan NGO prihatin di mana mereka memberi bantuan makanan kepada yang memerlukan wajar dipuji.

Namun demikian aspek memastikan rakyat boleh berkerja mempunyai pekerjaan perlu dirancang dengan baik.

Berikut 7 strategi dalam membantu rakyat mempunyai pekerjaan secepat mungkin sebaik COVID19 berkahir.

Strategi 1: Menurunkan Kadar Dasar Semalaman

Kerajaan menerusi Bank Negara perlu memperkenalkan Kadar Dasar Semalaman kepada kadar lebih rendah. Kadar semasa iaitu 2.50 peratus wajar dipertimbangkan untuk dikurangkan lagi.

Kadar Dasar Semalaman yang ditentukan oleh Bank Negara akan menjadi panduan kepada bank-bank dalam menentukan kadar faedah perkhidmatan pinjaman kewangan mereka kepada peminjam.

Lebih rendah kadar faedah pinjaman lebih baik dan lebih cepat ekonomi dapat dipulihkan.

Dengan kata lain lebih cepat ekonomi dapat dipulihkan, lebih banyak peluang pekerjaan dicipta.

Strategi 2: Membangunkan Projek Pembangunan Infrastruktur Awam

Kerajaan perlu mengenalpasti projek-projek pembangunan atau pemulihan prasarana seperti pembinaan jalanraya/lebuhraya, landasan keretapi, lapangan terbang, pelabuhan, sekolah dan lain-lain yang membawa kepada nilai pelaburan berbilion-bilion ringgit.

Pelaburan ini amat penting dalam menggerakkan ekonomi. Menerusi pergerakan ekonomi itu, akan tercipta peluang pekerjaan untuk rakyat di pelbagai industri, sektor dan peringkat.

Lebih banyak projek prasarana kerajaan dibentuk, lebih besar ‘economic spillover’ termasuk dalam aspek penciptaan peluang pekerjaan.

Strategi 3: Mewujudkan Dana Bantuan Tidak Bekerja

Strategi ini walaupun nampak seperti tidak bagus tetapi dari aspek ekonomi sumbangannya amat jelas.

Secara amnya, dana yang diberikan kepada mereka yang tidak berkerja dan dibelanjakan oleh mereka akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Ini akan mencipta peluang pekerjaan di mana syarikat meningkatkan pengeluaran mereka dan ini menuntut syarikat meningkatkan jumlah pekerja dan akhirnya membawa kepada penerima sumbangan dana ini berpeluang untuk kembali bekerja.

Strategi 4: Mengurangkan Kadar Cukai Pendapatan

Strategi ini akan memberi para pekerja lebihan wang yang pada asasnya akan mereka belanjakan semula.

Perbelanjaan tersebut akan menyebabkan berlaku permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan di pasaran. Ini pasti akan membawa kepada perkembangan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan baharu.

Amat besar impak strategi ini dalam merancakkan proses pemulihan ekonomi negara.

Strategi 5: Memperkukuh Portal Pencarian Pekerjaan Negara

Strategi ini amat penting dalam membantu rakyat mendapatkan pekerjaan. Di masa sama, syarikat, NGO atau agensi kerajaan boleh memaklumkan kekosongan jawatan yang ada di organisasi mereka.

Portal atau aplikasi yang dibangunkan itu perlu sangat mesra pengguna contohnya seperti semudah membeli tiket kapal terbang dalam talian.

Kerja yang ditawarkan juga tidak hanya terhad kepada kerja memerlukan kelulusan sahaja tetapi semua jenis pekerjaan. Ia perlu benar-benar menjadi portal pencarian kerja buat rakyat.

Strategi 6: Memperkasa Ekonomi Digital – Online Business

Kerajaan perlu memberi segala bentuk sokongan dalam meningkatkan sumbangan perniagaan dalam talian terhadap ekonomi negara.

Kadar pelepasan cukai, pakej ransangan perniagaan, kemudahan infrastruktur dan lain-lain perlu diberi penekanan khusus.

Perkembangan segmen perniagaan ini mampu mencipta peluang pekerjaan baharu yang besar. Segala kebimbangam rakyat berkaitan melakukan transaksi dalam talian wajar ditangani dengan jaminan keselamatan dari pihak kerajaan contohnya undang-undang yang lebih tegas.

Strategi 7: Membentuk Kerjasama Strategik Rantaian Pembekalan Serantau & Dunia

Kerajaan perlu berkerjasama dengan negara serantau dan antarabangsa dalam membentuk rangkaian pembekalan khususnya berkaitan produk keluaran ataupun keperluan negara.

Strategi ini akan membolehkan barangan keluaran negara dapat memasuki pasaran-pasaran serantau dan antarabangsa dengan lebih mudah dan sistematik.

Di masa sama akan memudahkan syarikat tempatan mendapat bekalan bahan mentah dari seluruh pelusuk dunia.

Kesimpulan

Kesemua strategi di atas mampu mengurangkan impak negatif COVID19 terhadap ekonomi Malaysia. Dengan kata lain, strategi-strategi tersebut mampu membantu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.

Di masa sama kerajaan, pemain industri dan seluruh rakyat Malaysia perlu bersatu hati dan berganding bahu dalam mendepani waktu-waktu sukar ini. Bersama memulihkan ekonomi negara adalah formula terbaik untuk memperkukuh kembali jati diri seluruh rakyat Malaysia.- MalaysiaGazette