Home Utama HKL tidak abai kesihatan mental, emosi petugas

HKL tidak abai kesihatan mental, emosi petugas

Petugas hospital memakai pakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) melakukan kerja-kerja merawat pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR- Sudah lebih empat bulan para petugas barisan hadapan pengurusan Covid-19 mencurahkan sepenuh komitmen untuk memerangi wabak ini.

Pastinya sudah ada yang penat sama ada dari segi fizikal malah juga mental dan emosi.

Disebabkan itu Hospital Kuala Lumpur tidak memandang remeh isu kesihatan fizikal, mental dan emosi para petugasnya yang telah berkorban siang dan malam untuk merawat pesakit Covid-19.

Timbalan Pengarah HKL, Dr Kamaruddin Alias

Menurut Timbalan Pengarah HKL, Dr. Kamaruddin Alias, hospital terkenal itu telah bersiap sedia dengan menggerakkan unit pegawai kaunseling untuk memberi perkhidmatan kepada para petugas yang memerlukan.

“Kita sudah menjangka kesihatan mental akan terganggu disebabkan pertambahan beban tugas kepada mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan ini.

“Jadi bagi menjaga kesihatan mental para petugas, HKL telah menggerakan unit pegawai kaunseling untuk memberi motivasi atau kaunseling kepada mereka.

“Di samping itu, ketua-ketua jabatan telah dinasihatkan untuk memberi perhatian kepada masalah-masalah kebajikan para petugas.

“Mereka juga perlu mengenal pasti masalah stres dalam kalangan petugas dan perlu mengambil tindakan sewajarnya contohnya seperti mengubah jadual kerja atau memberikan pegawai gentian sekiranya perlu.

“Para petugas juga sering diingatkan untuk bertemu pegawai kaunseling jika mengalami stres,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Petugas hospital menolak troli jenazah pesakit pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 APRIL 2020

Menurut Dr. Kamaruddin, buat masa ini HKL menugaskan 11 pakar, 70 pegawai perubatan dan sekurang-kurangnya 100 jururawat sehari khusus untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19.

Ujarnya, setakat ini pihak pengurusan melihat kebanyakan petugas masih lagi bersemangat untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit-pesakit Covid-19.

Ini katanya mungkin disebabkan oleh mereka sudah terbiasa bertugas di bawah tekanan dan waktu kerja yang panjang.

“Selama ini pun, kami sudah biasa bertugas di bawah tekanan malah kami telah dilatih sebegitu.

“Cuma dalam pengurusan wabak Covid-19 ini, memang berbeza keadaannya.

“Selama saya berkhidmat selama lebih 30 tahun, ini kali pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya lagi.

Seorang petugas KKM melakukan saringan suhu badan ke atas orang awam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2020.

Tambah Dr. Kamarudin, HKL juga menggerakan pakar-pakar daripada bidang lain seperti neurologi, ortopedik, pakar bedah, pakar bius, pakar kulit dan sebagainya untuk sama-sama membantu dalam pengurusan Covid-19.

Katanya, beban tugas tersebut tidak hanya digalas oleh pakar kawalan penyakit sahaja tetapi terpaksa diagih-agihkan kepada pakar-pakar yang lain untuk sama-sama membantu ketika krisis yang pertama kali berlaku ini.- MalaysiaGazette