Home Nasional Pensyarah cadang cara hantar pelajar IPT pulang ke kampung

Pensyarah cadang cara hantar pelajar IPT pulang ke kampung

Suasana semasa orang ramai, pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) beratur untuk mendapatkan serta menghantar Borang Kebenaran Rentas Negeri sebelum PDRM menarik semula perintah larangan keluar dari satu negeri ke negeri lain susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika tinjauan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 17 MAC 2020

KUALA NERUS – Seorang pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan kerjasama pintar antara universiti bagi membolehkan proses penghantaran pulang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ke kampung halaman masing-masing pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua Makmal Penyelidikan Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Dr Mohd Uzair Rusli berkata sebelum kaedah itu digunakan, pelajar perlulah melalui proses tertentu dan didapati sihat daripada sebarang gejala Covid-19.

Beliau berkata penghantaran pelajar pula mestilah menggunakan bas universiti dan bukannya pengangkutan awam bagi tujuan keselamatan dan mengelak daripada sebarang risiko dijangkiti.

“Sebagai contoh, UMT akan menghantar pulang pelajar ke Johor dan bas sama juga digunakan untuk mengangkut anak-anak Terengganu yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sana untuk pulang ke sini.

“Langkah ini boleh dilaksanakan kerana kita memiliki universiti awam di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jumaat lepas, Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Noraini Ahmad berkata pihaknya akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pelajar yang berada di kampus ke rumah masing-masing susulan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mencadang dan menasihat KPT supaya bersabar dalam tempoh seminggu dua sebelum membenarkan pelajar IPT pulang ke kampung masing-masing.

Bagi mengurangkan lagi risiko jangkitan, Mohd Uzair turut mencadangkan supaya setiap universiti membekalkan pelajar dengan makanan supaya mereka tidak perlu singgah lebih lama di mana-mana Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Perkongsian bijak sesama universiti akan menjimatkan wang dan lebih penting mengelak risiko jangkitan COVID-19. Pelajar juga akan lebih selesa dan ceria menyambung sesi pembelajaran secara dalam talian di kampung bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Asasi Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) UMT, Dr Laili Che Rose berpendapat kebajikan pelajar kini berada pada tahap yang baik dan seeloknya terus kekal di kampus.

Beliau berkata sebagai ibu kepada dua anak yang juga sedang belajar di universiti tempatan dan luar negara, beliau amat memahami keresahan serta kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan dan kebajikan anak mereka.

“Ketika ini keseimbangan telah dicapai apabila pelajar di kampus berada dalam kesihatan yang baik, begitu juga ibu bapa mereka di kampung. Tetapi bayangkan bagaimana sekiranya keseimbangan itu digangggu kerana saya yakin, pasti akan ada yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam pergerakan dari kampus ke kampung masing-masing.

“Malah, mungkin ada pelajar yang kampungnya dikategorikan sebagai zon merah dan ini akan mendedahkan mereka kepada risiko yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

1 Komen

  1. Duduk aje kt U tu smpi wabak dh clear.. isunya cm ibu bapa risau..kebajikan mrk dh terjaga kesihatan pun ok..belajar boleh diteruskan .. pedehei..bdk dh besor..ikut je arahan dan nasihat..kang kl balik rmh timbul isu lain pulak..erm..cm raya dgn puasa tu..mungkin boleh diikhtiarkan..berperingkt dan terkawal..keutamaan skrg utk menangani wabak ..
    Bersama-sama le kita berdoa smg negara kita segera bebas dr wabak..

Comments are closed.