Home Nasional Tiada pertambahan zon merah Covid-19

Tiada pertambahan zon merah Covid-19

KUALA LUMPUR – Tiada daerah atau kawasan tambahan dikategorikan sebagai zon merah Covid-19, sejak semalam, kata Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perkembangan positif itu menjadikan jumlah keseluruhan zon itu kekal sebanyak 26 kawasan setakat 12 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, kes positif Covid-19 di zon merah dilihat meningkat.

Jika pada Jumaat, daerah Melaka Tengah merekodkan 44 kes positif Covid-19, semalam ia menunjukkan peningkatan 2 kes kepada 46 kes.

Melaka Tengah adalah zon merah ke 26 sejak semalam.

Sementara itu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur terus menjadi kawasan tertinggi positif Covid-19 dengan 459 dengan peningkatan 32 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling Jaya di Selangor masing-masing merekodkan 378 dan 335 kes, diikuti Kuching, Sarawak dengan 215 kes.

Klang pula mencatatkan peningkatan 10 lagi kes menjadikan jumlah keseluruhan di kawasan itu sebanyak 159 kes, Gombak 125, dan Sepang dengan 61 kes, Hulu Selangor 45 kes.

Kawasan zon merah lain adalah Kluang 183, Seremban 213, Johor Bahru 176, Kepong 119, Titiwangsa 112 kes, Kinta 98, Kota Bharu 88, Tawau 70, Hilir Perak 66, Cheras 69, Jerantut 64, Rembau 53, Kuantan 76, Batu Pahat 51, Putrajaya 51, Jasin 67, dan Kota Samarahan 47 kes.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Jumlah terkini positif Covid-19 adalah sebanyak 4,530 kes. -MalaysiaGazette