Home Akhbar Cina 70 peratus PKS akan kering tunai selepas April

70 peratus PKS akan kering tunai selepas April

Persatuan PKS berpendapat "formula 14 hari" yang digunakan kerajaan untuk mengumumkan PKP menyebabkan PKS gagal melakukan perancangan untuk masa depan. - foto hiasan

PULAU PINANG: Keputusan kerajaan untuk memanjangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April menyebabkan sesetengah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sanggup menolak bantuan kerajaan, tetapi memilih untuk mengurangkan pekerja, malahan menamatkan perniagaan.

Presiden Persatuan PKS, Datuk Michael Kang berkata, pemanjangan tempoh PKP memberi kesan yang memudaratkan kepada PKS, dengan ada yang memilih untuk menggulung tikar dengan harapan dapat memulakan perniagaan baharu selepas tamat wabak COVID-19 nanti.

Michael berterus-terang bahawa banyak perusahaan tidak bersedia untuk menghadapi pemberhentian operasi yang berlanjutan sehingga akhir April.

Beliau berkata, keadaan tunai 70 peratus PKS hanya mampu bertahan hingga akhir April dan akan ‘kering’ selepas itu.

“Gaji pekerja untuk Mac telah dikeluarkan dan langsung tiada pendapatan sepanjang April.

“Dalam keadaan ini, ada majikan sanggup untuk tidak terima insentif gaji yang disediakan kerajaan, tetapi cenderung menamatkan perniagaan atau mengurangkan pekerja sementara menunggu wabak berakhir.

“Hakikatnya, banyak ahli persatuan sedang memikirkan jalan ini,” katanya kepada Oriental Daily.

Michael berkata, bantuan kepada PKS yang diumumkan kerajaan memberi harapan kepada perusahaan, tetapi pemanjangan tempoh PKP selama dua minggu melenyapkan harapan mereka.

“Pemanjangan PKP dipercayai akan menyebabkan banyak PKS gulung tikar dan pekerja hilang rezeki,” katanya.

Beliau berpendapat, “formula 14 hari” yang digunakan kerajaan untuk mengumumkan PKP menyebabkan PKS gagal melakukan perancangan untuk masa depan.

“Majikan dan pekerja berdepan kemelut yang sama, kami semua tidak tahu berapa 14 hari lagi yang ada,” katanya.

Menurutnya, jika kerajaan mengumumkan PKP dilanjut sehingga 30 Mei, sekurang-kurangnya ia membantu PKS merancang langkah seterusnya.

“Jika wabak berjaya dikawal pada awal Mei, kerajaan boleh menamatkan PKP lebih awal berbanding akhir Mei yang ditetapkan

“Ia adalah lebih baik daripada mengumumkan perlanjutan PKP setiap 14 hari,” katanya. – MalaysiaGazette