Home Nasional Covid-19: KKM temui kluster PUI Bali

Covid-19: KKM temui kluster PUI Bali

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan sebanyak 25 kluster dan sub-kluster berkaitan Covid-19 sepanjang wabak itu melanda sejak Januari lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah kluster terbesar adalah daripada kluster Sri Petaling.

“Ada 25 kluster dan sub kluster, terbesar ialah jemaah Sri Petaling sebanyak 40 peratus, kluster lain kita sudah umum, kluster kecil kita belum umum lagi. KKM aktif membuat pengesanan kes, ujian, saringan, memberi rawatan terbaik kepada kluster itu,” kata beliau dalam sidang media harian di KKM hari ini.

Dalam pada itu, hari ini KKM mengesan dua lagi sub-kluster baharu di Kuantan, Pahang.

Kedua-dua sub-kluster itu dikesan melalui pengesanan, penyaringan, ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi.

“Kluster Person Under Investigation (PUI) Bali di Kuantan ini adalah satu kluster yang melibatkan golongan pesakit dan beberapa anggota kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan.

“Sehingga 13 April 2020, 20 orang telah dikenalpasti di dalam kluster,” jelas Noor Hisham.

Daripada sub-kluster itu, seramai 14 orang sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Pahang dan dua orang telah sembuh.

Bagaimanapun, tiga pesakit telah dirawat di unit rawatan rapi dan seorang telah meninggal dunia (kes ke-1575).

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, terdapat tiga anggota kesihatan yang terlibat dalam kluster ini.

“Kes indeks (iaitu kes ke-4,684) bagi kluster ini mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia. Beliau kemudiannya mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1,575 (iaitu abang kepada kes indeks).

“Kes ke-1575 kemudiannya telah menjangkiti 7 kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga,” katanya lagi.

Daripada sub-kluster itu, terdapat 339 kontak rapat telah dikenalpasti dan ujian saringan Covid-19 telah dijalankan, termasuk 202 anggota kesihatan. – MalaysiaGazette