Home Krik Krik EKSKLUSIF: Kisah Lee Bee dan ‘bahasa tangannya’….

EKSKLUSIF: Kisah Lee Bee dan ‘bahasa tangannya’….

Jurubahasa Isyarat, Tan Lee Bee membuat demonstrasi bahasa isyarat 'Rantaian' pada temubual eksklusif Malaysia Gazette di Angkasapuri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kelibatnya sering kelihatan di kaca televisyen terutama ketika waktu siaran berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai jurubahasa isyarat.

Sejak Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah mengadakan sidang akhbar harian mengenai Covid-19, wajahnya turut ‘sama naik’ kerana figura itu juga sering menjadi jurubahasa isyarat setiap kali RTM mengadakan lintas langsung mengenai isu tersebut ke seluruh negara.

Namun tak ramai tahu, Tan Lee Bee sebenarnya langsung tidak pernah mempelajari kaedah ‘bahasa tangan’ itu secara formal sewaktu menyertai RTM sebagai jurubahasa isyarat.

Segalanya bermula apabila Lee Bee yang berasal dari Labis, Johor menemani adiknya yang mengalami masalah pekak untuk bersekolah di sebuah sekolah khas di Kuala Lumpur.

Menurut Lee Bee, kerana simpati dengan nasib adiknya itu, setiap hari dia mengambil keputusan pergi sekolah berkenaan dan menunggu sehingga adiknya itu habis belajar.

“Siapa sangka daripadanya hanya nak menemani adik saya di kelasnya, saya boleh menguasai bahasa isyarat dengan lancar beberapa bulan kemudian setelah melihat apa yang diajar oleh guru kelas tersebut,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Dia ditemui di Wisma Berita, Angkasapuri di sini hari ini.

Temubual Eksklusif bersama Jurubahasa Isyarat, Tan Lee Bee di Angkasapuri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2020

Mengulas penglibatan awalnya sebagai jurubahasa isyarat, Lee Bee berkata, pada tahun 1986, RTM memperkenalkan program Selamat Pagi Malaysia dan Menteri Penerangan ketika, Allahyarham Datuk Mohamad Rahmat mahukan seorang jurubahasa isyarat dalam rancangan berkenaan bagi membolehkan golongan cacat pendengaran juga boleh menonton serta memahami apa yang disampaikan.

Ketika itulah, kata Lee Bee, dia terpilih untuk bertugas dengan RTM sehinggalah sekarang.

Lee Bee juga berkongsi pengalamannya ketika dipanggil menjadi jurubahasa isyarat dalam satu majlis yang dihadiri oleh Tun Dr. Sti Hasmah Mohamed Ali ketika wanita itu menjadi isteri kepada Perdana Menteri pada tahun 1988.

Selepas majlis tersebut berakhir, katanya, Dr. Siti Hasmah melahirkan kekaguman dengan kemahirannya menggunakan bahasa tangan.

Lalu, kata Lee Bee, dia menggunakan kesempatan itu untuk meminta bantuan kepada Dr. Siti Hasmah agar menyokongnya mendapat latihan bahasa isyarat di Amerika Syarikat.

“Beliau minta saya tulis surat mengenainya. Siapa sangka seminggu kemudian isteri Tun Daim Zainuddin menemui saya dan memaklumkan permohonan saya ke negara berkenaan telah diluluskan.

“Syaratnya saya perlu kembali ke tanah air selepas itu untuk membantu golongan pekak di Malaysia.

“Akhirnya saya berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang ini selama setahun di Universiti Tennessee,” ujarnya tersenyum.

Menurut Lee Bee , selain bertugas di RTM, beliau turut menyumbang kepakarannya sebagai jurubahasa isyarat di mahkamah-mahkamah seluruh negara.

Jurubahasa Isyarat, Tan Lee Bee bergambar bersama kelengkapan yang digunakan ketika perbicaraan di mahkamah ketika temubual ekslusif Malaysia Gazette di Angkasapuri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2020

Ujarnya, apabila ada sahaja kes-kes melibatkan golongan pekak, dia pasti akan dipanggil untuk membantu.

Lucunya, kata Lee Bee, apabila ada kes rogol, mahu tak mahu dia terpaksa melakukan ‘pergerakan tertentu’ di mahkamah bagi memudahkan mangsa atau tertuduh memahami prosiding yang sedang dijalankan.

“Kalau bagi kes kesalahan dadah pula, saya terpaksa membawa foto-foto tentang jenis-jenis dadah untuk ditunjukkan kepada tertuduh, sebab itu jangan terkejut dalam beg tangan saya ada macam-macam gambar dadah termasuk kalendar.

“Nak tahu kenapa kalendar? Ini kerana saya akan menggunakan kalendar untuk ditunjukkan kepada tertuduh tentang berapa lama hukuman penjara yang perlu dilaluinya,” katanya.

Jurubahasa Isyarat, Tan Lee Bee bergambar bersama kelengkapan yang digunakan ketika perbicaraan di mahkamah ketika temubual ekslusif Malaysia Gazette di Angkasapuri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2020

Dalam pada itu, Lee Bee turut mengakui bukan mudah untuk memahamkan golongan cacat pendengaran mengenai gerak tangan sesuatu bahasa isyarat.

Sebab itu katanya, dia terpaksa menggunakan ekspresi muka setiap kali melakukan bahasa isyarat termasuk ketika bersiaran di kaca televisyen.

“Cara saya lain daripada yang lain, saya banyak ‘berlakon’ dan menggunakan memek muka seperti yang orang selalu tengok kat TV.

“Memang susah, adakalanya ketika saya mengajar dulu, saya terpaksa mengambil masa 30 minit semata-mata hendak menerangkan makna satu perkataan,” katanya yang pernah menjadi guru sekolah khas selama 17 tahun.

Mengenai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Lee Bee memberitahu, beliau dan berapa petugas jurubahasa isyarat di RTM akan bergilir-gilir mengendalikan bahasa isyarat ketika sidang akhbar Menteri pada pukul 2 petang dan sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan pada setiap pukul 5 petang.

Temubual Eksklusif bersama Jurubahasa Isyarat, Tan Lee Bee di Angkasapuri, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2020

Beliau secara peribadi berasa gembira dengan tugasannya sekarang kerana secara tidak langsung dapat memberikan maklumat mengenai bahayanya virus Covid-19 serta menyampaikan langkah-langkah yang diambil kerajaan kepada golongan bisu dan cacat pendengaran.

“Mereka perlu faham apa yang perlu buat dan apa yang tak boleh dilakukan kerana virus ini sangat bahaya…kita sebagai jurubahasa kena pastikan agar apa yang disampaikan itu betul dan tepat.

“Sebenarnya dulu saya selalu berdoa kepada Tuhan agar adik saya yang cacat pendengaran itu akan pulih, Tuhan mendengar permintaan saya, walaupun adik saya tidak sembuh tetapi Tuhan berikan peluang kepada saya untuk berbakti pula kepada insan sepertinya” katanya mengakhiri perbulan. – Malaysia Gazette.

https://youtu.be/pzGHQfoxnC0