Home Pendapat Pasca Covid-19 – Negara perlu wujud Dana Khas Negara

Pasca Covid-19 – Negara perlu wujud Dana Khas Negara

Petugas KKM, PDRM dan juga APM dilihat tiba dengan memakai sut PPE dipercayai untuk membuat saringan Covid-19 keatas penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza City One, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2020.

COVID-19 wajar mengajar pemimpin negara, kerajaan dan seluruh rakyat tentang perlunya negara atau rakyat itu mempunyai tabungan yang mencukupi untuk menghadapi krisis.

Sehubungan dengan itu, negara perlu membentuk satu dana khas contohnya boleh dipanggil sebagai Dana Negara untuk tujuan kegunaan semasa negara dilanda krisis kewangan, ekonomi mahupun kemanusiaan seperti bencana banjir besar atau kebakaran besar.

Keperluan mewujudkan dana ini amat tinggi bagi membolehkan negara mendepani krisis secara lebih bersedia dan terancang dari sudut kewangan.

Dana ini penting kerana ia menjadi sumber pertama yang boleh digunakan oleh negara ketika krisis atau bencana berbanding menggunakan simpanan negara. Keadaan akan menjadi sangat kritikal jika negara tidak mempunyai simpanan yang mencukupi.

Pendekatan semasa dengan melancarkan tabung tertentu semasa satu-satu krisis atau bencana melanda adalah tidak bersifat strategik dan tidak memberi impak besar serta berjangka panjang.

Pastinya memohon bantuan ketika krisis tidak mencerminkan negara mempunyai perancangan menghadapi krisis yang baik. Pendekatan menyimpan wang untuk tujuan kegunaan di masa susah iaitu menyimpan ketika ekonomi negara berkembang adalah langkah bijak.

Untuk itu, sewajarnya untuk permulaan kerajaan menyumbang sejumlah dana awal contohnya RM5 bilion. Kemudian, syarikat pula menyumbang 0.5% hingga 1% dari jumlah gaji dan elaun tetap yang dibayar setiap bulan kepada pekerja mereka ataupun untuk permulaan boleh mengambil sekitar 0.5% dari sumbangan yang majikan salurkan untuk dana HRDF.

Di masa yang sama kerajaan wajar mewajibkan seluruh rakyat Malaysia yang bekerja membuat potongan gaji bulanan untuk tabung ini contohnya RM5 atau kadar mengikut gred gaji.

Mereka juga boleh menyumbang lebih dari kadar ditetapkan iaitu atas sikap sumbangan ikhlas mereka. Begitu juga rakyat biasa seperti pesara, bekerja sendiri dan sebagainya boleh juga menyumbang untuk dana ini. Setiap sumbangan itu boleh mendapat pelepasan atau rebat cukai kepada yang berkaitan.

Dalam konteks tadbir urus, dana ini perlu ditadbir oleh satu perbadanan contohnya Permodalan Bina Negara (PBN) Berhad. Institusi ini bertanggungjawab mengurus dan melabur wang yang ada untuk tujuan menjana keuntungan bagi meningkat jumlah dana.

Dari aspek manfaat umum, dana ini boleh digunakan oleh negara ketika berhadapan dengan krisis ekonomi, kewangan mahupun bencana seperti banjir besar atau kebakaran.

Dalam konteks syarikat pula, syarikat yang layak iaitu memenuhi syarat, contohnya syarikat yang menghadapi masalah kewangan untuk membayar gaji pekerja boleh memohon dana ini.

Bantuan ini akan membolehkan syarikat terus beroperasi dan pekerja terus mendapat gaji mereka dan kekal bekerja. Di samping bantuan dalam bentuk gaji, lain-lain bentuk bantuan yang bersesuaian boleh juga dipertimbangkan.

Di samping membantu syarikat dan pekerja, dana ini boleh juga digunakan untuk membiayai misi pembekalan bantuan makanan, tempat tinggal sementara, peralatan dan lain-lain keperluan untuk barisan hadapan negara dan rakyat yang terkesan ketika krisis ataupun bencana itu.

Dengan kata lain, dana yang diurus secara professional ini akan menyelesaikan masalah ketidaktepatan maklumat seperti yang negara lalui baru-baru ini di mana kerajaan terdahulu melaporkan keadaan kewangan negara amat teruk tetapi sebenarnya sebaliknya negara mempunyai rizab yang banyak iaitu sekitar RM2 trilion.

Malahan dengan adanya satu agensi mengurus dana ini dengan pelaporan dibuat secara professional akan membolehkan rakyat tahu berapa kukuh kedudukan kewangan negara dalam menghadapi krisis atau bencana.

Akhir kata, kerajaan perlu menjadikan wabak Covid-19 ini sebagai titik tolak kepada perancangan lebih strategik dalam mempersiapkan negara dalam menghadapi pandemik, krisis mahupun bencana. Gagal merancang adalah umpama merancang untuk gagal.

Penulis adalah Profesor Pengurusan Strategik UUM