SHAH ALAM – Sebanyak 144 kertas siasatan polis telah dibuka di Selangor berkaitan penipuan jualan topeng muka yang melibatkan kerugian sehingga RM1.5 juta.
Jurucakap Polis Kontinjen Selangor Op Covid-19, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, berdasarkan laporan itu, seramai 20 individu yang menjadi dalang di sebalik sindiket itu berjaya ditangkap pihaknya.
“Oleh kerana kes penutup muka menjadi kebimbangan bagi kita di Polis Kontinjen Selangor, sepanjang tempoh Ops Covid-19 ini, sebanyak 144 kes telah dibuka melibatkan kerugian RM1.5 juta.
“Kita telah berjaya menangkap lebih kurang 20 orang yang dipercayai dalam siasatan kes penipuan topeng muka dan mulut ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Terdahulu, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan menipu penjualan penutup muka di laman Facebook, Februari lalu.
Tertuduh, Yeoh Joo Leong, 24, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nor Arifin Hisham.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa didapati dengan curang menerima wang berjumlah RM18,870 kepunyaan Wong Foo Ei, 25, ke dalam akaun Maybank miliknya yang mana mengetahui wang itu bukan miliknya.
Dalam pada itu, Muhammad Yazid juga menasihatkan orang ramai dan masyarakat Malaysia agar lebih berhati-hati dalam membuat pembelian terutama sekali pembelian secara dalam talian.
Orang ramai, katanya, boleh membuat semakan melalui laman sesawang ccid.rmp.gov.my/semakmule di mana di dalam laman web tersebut terdapat data-data atau informasi berkenaan dengan akaun-akaun yang digunakan oleh sindiket-sindiket penipuan.
“Ini kerana sindiket penipuan topeng muka ini modes operandi ditukar kepada topeng muka kerana permintaan yang tinggi daripada masyarakat sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.
Sementara itu, menyentuh jumlah penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setakat 12 April, beliau berkata sebanyak enam penerbangan direkodkan.
“Penerbangan pertama adalah dari Baghdad Iraq; Melbourne Australia; Doha Qatar; Hong Kong; Jakarta Indonesia dan Fudong China.
“Daripada enam penerbangan itu, seramai 462 penumpang untuk masuk ke dalam Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette