Home Nasional PKP: Polis puas hati sikap penduduk Tawau

PKP: Polis puas hati sikap penduduk Tawau

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penduduk di Tawau, Sabah yang merupakan salah satu kawasan dikategorikan Zon Merah kini mencapai 95 peratus.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata beliau berpuas hati dengan sikap masyarakat di situ pada PKP fasa kedua ini.

Meskipun sebelum ini tular gambar di media sosial menunjukkan masih ramai yang tidak patuh perintah kerajaan dengan memenuhi kawasan tumpuan ramai khususnya pasaraya,  katanya, tren terkini menunjukkan jumlah kenderaan yang memasuki pusat bandar khususnya semakin berkurang.

Jelas beliau ini berikutan anggota polis digerakkan di kawasan-kawasan tumpuan ramai untuk pemantauan.

“Ini pemantauan kita dan pemerhatian kenderaan yang memasuki sekatan jalan raya semakin kurang, memang ada yang dibenarkan lalu dengan alasan munasabah ada juga yang diarahkan balik dan mereka patuhinya.

“Orang di pusat bandar semakin berkurang, bila kita turunkan anggota kita (polis) di zon tertentu khasnya zon tumpuan, syukurlah (mereka) mendengar nasihat kita. Kenderaan-kenderaan yang masuk pusat bandar pun sudah tidak banyak,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam dilaporkan sebanyak 6 kes positif Covid-19 baru direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini di negeri itu adalah 266.

Untuk rekod pada 30 Mac yang lalu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal mengklasifikasikan Tawau sebagai kawasan Zon Merah Covid-9 di Sabah.

Ini berikutan Tawau menyumbang kepada peningkatan besar jumlah kes positif Covid-19 selain 25 kawasan di negeri lain.

Berdasarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) sehingga hari ini, sebanyak 71 kes positif wabak itu di Tawau.-MalaysiaGazette