KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyumbang RM23 juta bagi membantu usaha kerajaan dan barisan hadapan memerangi wabak Covid-19.
Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, PNB beriltizam untuk menghulurkan bantuan dengan apa cara sekali pun.
Ini termasuk memberikan sumbangan dalam bentuk peralatan perubatan penting dan bantuan kewangan.
Sejumlah RM11.84 juta disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menyerahkan empat mesin alat bantuan penafasan, pembelian peralatan perubatan dan menaik taraf 23 buah hospital.
Sejumlah RM5.4 juta lagi disumbangkan kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan untuk diagihkan kepada 21 buah hospital bagi membeli bantuan lanjut kepada barisan hadapan.
Selain itu, wang tersebut turut diagihkan kepada 41 buah hospital bagi menyediakan bantuan kewangan segera kepada pesakit yang kurang berkemampuan.
Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) pula menerima sumbangan sebanyak RM70,180 untuk membiayai kos peralatan perubatan yang diperlukan dalam membendung penularan wabak Covid-19.
Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pula menerima RM3.1 juta bagi menaik taraf perkhidmatan ujian diagnosis manakala Rangkaian Tindak Balas Bencana (GDRN) menerima RM2.3 juta bagi membeli bekalan perubatan, peralatan perlindungan diri (PPE) dan keperluan lain.
Sebagai sokongan kepada inisiatif yang dilancarkan oleh institusi zakat untuk membantu pemilik perusahaan kecil, PNB telah menyumbang sebanyak RM800,000 kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP.
Sumbangan pertama sebanyak RM300,000 telah disalurkan kepada kira-kira 600 usahawan di Wilayah Persekutuan dan sumbangan kedua berjumlah RM500,000 turut diberikan kepada mereka yang mengalami kesulitan yang sama di seluruh negara, termasuk isi rumah B40 dan pekerja gaji harian yang terjejas akibat kehilangan pendapatan.
Tambah Zeti, PNB juga memberikan pengecualian bayaran sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyewa di hartanah milik badan tersebut.
“Bagi meringankan beban perniagaan yang terjejas akibat kekangan kewangan sepanjang tempoh ini, PNB akan memberikan pengecualian pembayaran sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penyewa di hartanah milik PNB.
“Kami berharap agar bantuan ini mampu memberi kesan positif dalam perjuangan menentang pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- MalaysiaGazette