Home Seni Hidup Air mata Wan Maimunah

Air mata Wan Maimunah

Video perkongsian hati Wan Maimunah yang dirakam ahli keluarga menjadi tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Pelakon veteran, Wan Maimunah menangis terharu kerana menerima bantuan makanan untuk kegunaan harian ketika berkurung di rumah ketika ini.

Pelakon berusia 67 tahun dan dikenali sebagai bintang air mata itu menerima kunjungan Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa ustaz muda di kediaman anak angkatnya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor baru-baru ini.

Video perkongsian hati Wan Maimunah yang dirakam ahli keluarga menjadi tular apabila dia kelihatan sebak sambil menangis kerana ada pihak yang sudi bertanya khabar mengenainya.

“Saya dihubungi Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin beritahu ada ustaz nak datang.

“Alhamdulillah, terima kasih, rumah ibu jauh, tetapi ustaz tetap sudi datang. Setiap yang baik, Allah membalas dengan kebaikan juga hendaknya,” katanya dalam video itu.

Ustaz Sheikh Mohammad bekerjasama dengan WHAM dan rakan artis seperti Zul Yahya dan Azza Elite yang mengenal pasti nama-nama pelakon veteran yang memerlukan bantuan.

Selain Wan Maimunah, Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa sahabat mengunjungi Datuk Wazata Zain, Hail Amir, Norlia Ghani, Shima, Sophia Ibrahim, Mak Jah, S Rohani, Mimi Loma, S Mariam, Aripah Damanhuri dan ramai lagi.

Tidak terkecuali, sumbangan yang mula diedarkan sejak awal April ini disampaikan kepada penggiat teater dan kru balik tabir.

Sebelum ini, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) turut menghulurkan sumbangan. – MalaysiaGazette