KUALA LUMPUR – Seorang anggota bomba terpaksa memendam perasaan sedih selepas tidak dapat berada di sisi ayah kandungnya yang menghembuskan nafas terakhir pada Ahad lalu akibat ketumbuhan di bahagian otak.
Mat Sariff Mohd Hariff, 27, yang merupakan Pegawai Bomba Operasi Selangor, Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn mengakui hiba mendengar perkhabaran kematian bapanya itu, namun, beliau hanya mampu berserah kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menyertai Ops Sanitasi Awam di beberapa kawasan sekitar Cheras hari ini, Mat Sariff yang berasal dari Sabah berkata, beliau mendapat tahu berita sedih itu daripada adiknya.
Katanya, sejurus dimaklumkan mengenai perkara tersebut tidak ada kata-kata yang terkeluar dari mulutnya selain hanya beristighfar kepada Allah bagi meredakan perasaan.
“Saya dapat tahu hari Ahad petang. Sebelum itu kami adik-beradik sempat buat video call, masa itu ayah sudah tenat, kami tak boleh buat apa-apa,” katanya.
Ujarnya, dia ada juga cuba untuk mendapatkan tiket penerbangan pulang ke Sabah sejurus memaklumkan perkara itu kepada ketuanya.
Bagaimanapun menyedari beliau tetap tidak akan dapat menghadiri pengebumian ayahnya ekoran syarat-syarat yang dikenakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan ketika ini, beliau kemudiannya membatalkan hasrat itu.
Ditambah pula dengan tanggungjawab yang diberikan kepadanya untuk menyertai pasukan operasi nyah cemar bagi menangani penularan wabak Covid-19, Mat Sariff tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan yang boleh melunturkan semangatnya.
Sebaliknya, beliau tetap bertekad mahu melihat keadaan negara kembali seperti sediakala dan cuba mengetepikan perasan hiba yang dihadapinya.
“Sebenarnya, saya pun lemah dapat berita ini. Sedih, sebagai anak sulong ibu bapa mendidik kita seperti menatang minyak yang penuh.
“Nak buat macam mana..dah la kita tinggal jauh, time operasi dan negara macam ni lagi, memang sesuatu ujian bukan saja pada saya tapi seluruh keluarga saya,” ujarnya.
Tambah beliau, semangatnya menjadi kuat dalam mendepani situasi yang dihadapi apabila mendapat sokongan daripada rakan-rakan seperjuangannya apabila mereka tidak henti-henti meminta agar beliau sentiasa berasabar dan menyerahkan segalanya kepada Allah.
Ujarnya, kata-kata semangat yang diberi oleh rakan-rakan dalam pasukannya menjadi pendorong kepada beliau untuk melupakan kesedihan yang sedang ditanggung meskipun adakalanya datang mengimbas. – MalaysiaGazette
Inna lillahi wainnah ilaihi rojium…
Innalillahiwainnalillahirajiun…. Salam takziah
Semoga arwah ayah dicucuri rahmat Allah sentiasa.
Sabarlah menghadapi ujian getir ini. anda wira negara