KUALA LUMPUR – Sejak tiga minggu lalu, kehidupan pegawai dan anggota pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang ditempatkan di Zon Empat, Hulu Langat sudah ‘terpisah’ dengan keluarga masing-masing.
‘Pemisahan’ itu dilakukan ekoran masing-masing tidak mahu memberi risiko kepada orang tersayang kepada wabak Covid-19 dan itu sememangnya tanggungjawab yang perlu diambil oleh setiap anggota terlibat dalam Ops Sanitasi Awam.
Rata-rata mereka yang ditemui mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan rindu kepada keluarga masing-masing namun akur ia terpaksa dipendam demi menjalankan tugas yang diamanahkan.
Pegawai Bomba Kanan II, Rozaidi Abdul Rahim, beliau sangat rindu untuk pulang ke rumah bertemu dengan isteri dan dua orang anaknya yang masih kecil.
Namun, beliau cuba mengawal perasaan kerana sedar akan risiko yang mungkin dialami oleh keluarganya itu,
Katanya, meskipun rindu tetapi beliau tidak janggal dengan keadaan tersebut kerana sudah menjadi kebiasaan dalam tugasnya meninggalkan keluarga dalam tempoh yang lama.
“Mestilah ada rasa rindu itu. Anak-anak dan isteri saya tinggal dengan kakak. Jika ada pelepasan saya akan pulang sekejap ke rumah saya yang letaknya tidak jauh dari rumah kakak saya itu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Rozaidi berkata, jika pulang dia akan duduk di rumahnya berseorangan diri tanpa membenarkan anak dan isterinya untuk pulang menemuinya.
Katanya, jika rasa terlalu rindu beliau akan singgah ke rumah kakaknya namun hanya dapat memandang isteri dan anak-anaknya dari jauh.
“Kalau nak lihat mereka secara dekat memang dengan video call sajalah,” ujarnya.
Rakannya, Mat Sariff Mohd Hariff, 22, pula tidak dapat merasakan apa yang dirasai oleh rakannya itu kerana beliau belum lagi berkeluarga.
Bagaimanapun, beliau tetap merindui keluarganya yang berada di Sabah – lebih-lebih lagi selepas beliau dikejutkan dengan kematian ayah pada dua hari lalu.
“Memang saya rindu dengan keluarga di kampung tapi, mereka selalu pesan supaya saya tabah dan kuat semangat. Saya akan sematkan dalam diri saya pesanan mereka itu dan kerinduan saya boleh terubat dengan rakan-rakan seperjuangan yang turut tinggal di sini,” katanya.
Bagi Penguasa Kanan Bomba I, Shahrin Yusmar Mat Yusof pula, beliau mengambil inisiatif untuk mengasingkan diri dengan tinggal bersama anggotanya di Balai Bomba Pandan Indah.
Katanya, tindakan yang diambil itu adalah sebagai memberikan sokongan moral kepada pegawai dan anggota pasukannya yang berkorban demi memastikan misi memerangi penularan wabak Covid-19 mencapai matlamatnya.
“Kalau anak buah saya boleh (mengasingkan diri) kenapa saya sebagai ketua mereka tidak boleh berkorban seperti mereka. Saya akan tinggal dengan mereka sehinggalah penghujungnya,” katanya.
Tambah beliau, semua anggota yang terlibat seemangnya tidak dibenarkan untuk pulang ke rumah kerana bimbang faktor jangkitan yang mungkin boleh diterima oleh keluarga masing-masing jika ada yang berbuat demikian.
Sementara itu, seorang sukarelawan dari Rescue Bencana Malaysia, Mohamad Nizam Abd. Wahab, 46, berkongsi pengalamannya menyertai Ops Sanitasi Awam bersama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, meskipun telah lama menyertai badan bukan kerajaan (NGO) itu dan mengikuti beberapa misi bantuan namun penyertaannya kali ini sangat berbeza dan mendebarkan.
Ujarnya, misi yang disertai kali ini lain daripada yang lain apabila terpaksa berdepan dengan satu situasi berbahaya yang tidak nampak.
“Gemuruh dia lain, macam perang. Takut bila pergi zon merah bimbang kalau virus itu kena pada kita, memang seramlah. Tapi bila kita ada pengalaman di banyak tempat seperti operasi di surau, masjid kita bersama dengan bomba kita rasa selamat sebab kita dah tau SOP dan cara yang betul,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menolak tanggapan sesetengah pihak yang mungkin ada mengatakan operasi nyah cemar yang dilakukannya tidak sepayah misi-misi lain yang lebih menggemparkan.
Katanya, ‘peperangan’ dengan wabak penyakit merupakan satu perkara yang paling sukar sekali kerana berdepan dengan musuh yang tidak nampak. – MalaysiaGazette
Hy…………….